SHAH ALAM – Pemutihan sekolah-sekolah agama (SAR) dan tahfiz di Selangor dilaksanakan bagi mengelakkan berlakunya salah guna kaedah kutipan derma dan penyebaran ajaran sesat.

Menurut Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Salehuddin Saidin masyarakat perlu sedar bahawa tidak semua pihak khususnya badan bukan kerajaan (NGO) layak membuka sekolah agama swasta atau tahfiz di negeri itu.

Jelasnya, terdapat syarat yang melibatkan pendaftaran, keselamatan, kesihatan dan persekitaran sekolah perlu dipatuhi sebelum membuka sekolah agama.

“Pelaksanaan pemutihan sekolah agama dan tahfiz swasta adalah untuk memastikan masyarakat sedar bukan semua sekolah atau mereka yang mengutip derma layak untuk buka sekolah.

“Sebab nak buka sekolah agama swasta perlu mengikut syarat yang ditetapkan JAIS dan MAIS,” katanya.

Beliau berkata demikian Ketika ditemui di Majlis Sempena Perutusan 2026, di sini hari ini.

Katanya, pemutihan tahfiz mula dilaksanakan sejak Disember lalu dan MAIS secara berperingkat akan meneruskan tindakan itu kepada SAR swasta.

Ujarnya, pemutihan tidak bermaksud penutupan secara serta merta sebaliknya memberi peluang kepada sekolah-sekolah gama swasta yang dikenal pasti, melaksanakan penambahbaikan dari aspek pematuhan syarat MAIS dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS)..

“Kita tidak mahu menutup semua sekolah swasta sama ada tahfiz atau sekolah rendah agama keseluruhan kalau didapati tidak mematuhi tapi kita bagi peluang untuk mereka membaik pulih supaya mengikut syarat yang ditetapkan JAIS dan MAIS. Ini yang kita katakan proses pemutihan secara berperingkat,” tambahnya.

Terdahulu, tular di aplikasi Threads satu dokumen yang merupakan surat peringatan daripada JAIS kepada sekolah-sekolah rendah agama yang belum berdaftar yang dikeluarkan pada November tahun lalu.

Mengulas perkara berkenaan, Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Negeri Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata program pemutihan sekolah tahfiz swasta yang dikendalikannya telah bermula sejak 24 Disember lalu.

Sehingga kini program berkenaan mencapai sebanyak 96 peratus daripada 606 sekolah berdaftar.

Jelas beliau, program itu membenarkan sekolah beroperasi sementara selama tiga tahun untuk melengkapkan syarat kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT) termasuk keselamatan bangunan dan kurikulum.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast