Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dijadual mengadakan pertemuan dengan wakil platform media sosial X minggu hadapan bagi membincangkan secara serius isu penyalahgunaan aplikasi kecerdasan buatan (AI) Grok yang didapati melanggar piawaian keselamatan dalam talian di negara ini.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, persetujuan mengenai pertemuan tersebut telah dimaklumkan kepada MCMC pagi tadi, hasil libat urus awal antara pihak berkuasa dan pengendali platform berkenaan.

“Setakat jam 10 pagi tadi, pihak MCMC memaklumkan mereka telah berhubung dengan pihak X untuk cuba adakan pertemuan pada minggu hadapan.

“Tapi ada beberapa perkara yang akan disahkan sebelum pertemuan itu berjalan. Tapi mereka (MCMC dan X) ada berhubung dan sekarang kita nantikan maklumat terakhir,” katanya  pada sidang akhbar selepas mesyuarat mingguan Kabinet hari ini.

Beliau diminta mengulas sama ada MCMC akan mengambil tindakan undang-undang terhadap platform X susulan isu Grok.

Sebelum ini, MCMC memutuskan untuk menyekat sementara akses kepada aplikasi AI Grok bagi pengguna di Malaysia susulan penyalahgunaan berulang yang melibatkan penjanaan kandungan lucah, kandungan seksual eksplisit serta bahan tidak senonoh yang melampau.

MCMC dalam kenyataan menegaskan, kandungan terbabit turut melibatkan imej manipulasi tanpa persetujuan termasuk membabitkan wanita dan kanak-kanak, walaupun beberapa siri libat urus kawal selia telah dikeluarkan kepada X Corp dan xAI LLC.

Fahmi sebelum ini turut menegaskan kementeriannya tidak akan teragak-agak untuk mempertimbangkan tindakan perundangan terhadap platform X berikutan kegagalan memastikan aspek keselamatan dalam talian, khususnya melibatkan penggunaan aplikasi Grok.

Isu berkenaan bukan hanya melibatkan Malaysia apabila Indonesia turut mengambil langkah menyekat sementara akses kepada Grok, alat AI milik Elon Musk yang kini disepadukan dengan platform X.

Tindakan tersebut dibuat susulan kebimbangan serius terhadap penularan kandungan pornografi dan penyalahgunaan teknologi AI untuk menghasilkan imej ‘deepfake’ seksual, sekali gus mencetuskan kebimbangan keselamatan awam di peringkat antarabangsa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast