PUTRAJAYA – Kerajaan Perpaduan menegaskan komitmen untuk melaksanakan keputusan berkaitan pemberian 40 peratus hasil kepada Sabah apabila proses perbincangan rasmi telah pun dimulakan dalam tempoh 90 hari seperti diarahkan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, sebelum ini.
Jurucakap kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara berkenaan telah dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang diadakan hari ini, termasuk status pelaksanaan keputusan mahkamah serta perkembangan rundingan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah.
“Saya juga telah mendapatkan pengesahan daripada Ketua Setiausaha Perbendaharaan mengenai jumlah mesyuarat yang telah diadakan dalam tempoh 90 hari yang mana 90 hari daripada keputusan Mahkamah Tinggi Kinabalu itu berakhir pada hari ini.
“Dan dalam tindakan adalah mesyuarat kedua yang akan diadakan pada bulan ini, maksudnya dalam 1 hingga 2 minggu ke depan ini antara Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan juga seterusnya kerajaan negeri Sabah sebagai lanjutan kepada perbincangan awal yang telah diadakan pada November yang lalu,” katanya pada sidang media hari ini.
Pada 17 Oktober tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan Kerajaan Persekutuan mempunyai kewajipan untuk mengadakan semakan dan membayar semula Hak Tuntutan 40 peratus hasil bersih yang diperoleh dari Sabah.
Hakim bersidang, Datuk Celestina Stuel Galid, mengarahkan Kerajaan Persekutuan membuat semakan kadar pemberian khas terbabit dalam tempoh 90 hari dan mencapai persetujuan pembayaran dalam tempoh 180 hari dari tarikh perintah dikeluarkan.
Menurut Fahmi lagi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud akan menyusuli perkara itu dengan satu kenyataan penuh dalam masa terdekat bagi memperincikan kedudukan dan hala tuju rundingan.
Fahmi turut menjelaskan, Jemaah Menteri telah diingatkan mengenai garis masa pelaksanaan yang telah ditetapkan, khususnya keperluan memulakan proses dalam tempoh 90 hari pertama.
Katanya, berdasarkan keputusan mahkamah, dalam tempoh 180 hari, semua perkara berkaitan pembayaran, mekanisme pelaksanaan serta perincian lain perlu dimuktamadkan dan dipersetujui bersama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah.
Sehubungan itu, beliau menegaskan tempoh 90 hari seterusnya masih berbaki dan perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi memastikan rundingan berjalan lancar serta mencapai persetujuan muktamad.
Fahmi menegaskan komitmen kerajaan adalah untuk menunaikan perjanjian yang telah dimeterai oleh pengasas Persekutuan Malaysia, termasuk perkara di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) berkaitan hak 40 peratus hasil kepada Negeri Sabah. – MalaysiaGazette
















