Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menyampaikan ucapan Perasmian Serentak Wanita, Pemuda, dan Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MOHD ADZLAN, 14 JANUARI 2026.

KUALA LUMPUR – Part-parti politik di dalam Kerajaan Perpaduan diingatkan supaya tidak beranggapan UMNO sudah tumpul taringnya hanya kerana bersama-sama berada di dalam Kabinet.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, rakan-rakan rakan dalam Kerajaan Perpaduan juga tidak boleh beranggapan UMNO akan memejam mata apabila asas negara diganggu-gugat hanya kerana parti itu mahukan kestabilan politik.

Tegas beliau, UMNO tidak akan diam membisu, sebaliknya akan bangun, bersuara dan menentang habis-habisan sesiapa jua sama ada ada kawan atau lawan, yang cuba merobek tiga teras utama negara iaitu kesucian Islam; keistimewaan Melayu dan Bumiputera serta kedaulatan Raja-Raja.

“Ini adalah amaran keras. Kita bersedia bekerjasama demi rakyat dan demi negara, tetapi jika tangan-tangan gatal mula menyentuh agama, bangsa, dan raja kami, tangan itu akan kami tepis dengan segala kekuatan yang ada.

“Ingat ini! Politik boleh berubah, gabungan boleh bertukar, tetapi prinsip ini kekal mati bersama UMNO,” katanya.

Beliau berucap pada majlis perasmian serentak perhimpunan sayap Wanita; Pemuda dan Puteri sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, malam ini.

Menurut Mohamad, amaran keras berhubung prinsip `Garis Merah’ itu bukan sekadar retorik kosong atau laungan semangat di atas pentas PAU untuk menyedapkan hati mana-mana pihak.

Sebaliknya, tegas beliau, amaran itu bagi mematikan persepsi dalam kalangan rakyat kononnya UMNO hanya berani bercakap tetapi membisu di dalam kerajaan, atau dakwaan lebih pedih tuduhan UMNO boleh dibuli atau dicucuk hidung.

“Saya mahu buktikan bahawa prinsip yang saya sebutkan tadi sedang dan telah pun kita terjemahkan menjadi perisai ampuh dalam Kabinet,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast