Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki

PUTRAJAYA – Seramai 23 individu termasuk empat pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan kes rasuah dan salah guna kuasa melibatkan isu perolehan serta penggunaan dana awam.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, siasatan kes berkenaan telah bermula sejak 7 Oktober 2025 dan disifatkan sebagai sensitif kerana melibatkan pegawai berpangkat tinggi serta kepentingan awam.

“Kes ini saya klasifikasikan sebagai kes berprofil tinggi yang perlu ada kesegeraan kerana ia melibatkan kepentingan awam dan pangkat mereka yang terlibat,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat SPRM, hari ini.

Menurut beliau, sehingga kini SPRM telah membuka 22 kertas siasatan kesalahan asas (predicate offence) serta satu kertas siasatan di bawah Seksyen 41 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

Azam menjelaskan, siasatan turut dijalankan di bawah Seksyen 17A dan Seksyen 23 Akta SPRM 2009 yang masing-masing berkaitan penerimaan suapan serta kesalahan salah guna kuasa oleh penjawat awam.

“Dalam kes rasuah, kita tidak hanya melihat transaksi wang semata-mata. Kita perlu membuktikan siapa pemberi, siapa penerima dan bentuk perlindungan yang wujud,” katanya.

Beliau memaklumkan, 30 saksi telah dirakam percakapan dalam tempoh kira-kira dua minggu, manakala beberapa pegawai kanan tertinggi telah dipanggil bagi membantu siasatan, termasuk dua individu yang ditahan tanpa dibawa ke mahkamah bagi tujuan reman. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast