Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong bersama Timbalan Presiden MIC, M. Saravanan dan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Datuk Seri Arthur Joseph Kurup hadir pada Ucapan Dasar Presiden UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MOHD ADZLAN, 16 JANUARI 2026.

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi `memujuk’ pemimpin MIC dan MCA supaya tidak lagi merajuk dan berkira-kira keluar daripada Barisan Nasional (BN).

Mengibaratkan hubungan parti komponen BN seperti adik-beradik, beliau yang juga Pengerusi BN berkata, adalah menjadi lumrah pasti ada yang `tergigit’ dalam hubungan itu, namun ia perlu kembali bertaut.

“Merajuk lah, tak apa…tapi merajuk sekejap lepas tu marilah balik, tetapi janganlah merajuk lagi, kita pun tak larat nak pujuk.

“Balik ke sini, duduk di rumah besar ini kita sama-sama lah… kita rakyat Malaysia, kita sahabat dalam BN,” katanya.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan Ucapan Dasar Presiden UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MOHD ADZLAN, 16 JANUARI 2026.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC), di sini hari ini.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, beliau tidak menafikan keberadaan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan telah menimbulkan keretakan dalam hubungan sesama parti komponen di dalam BN.

Malah, tambah beliau, ada pemimpin parti komponen BN yang mempertimbangkan untuk menyertai gabungan politik lain seperti Perikatan Nasional (PN).

Namun, ujarnya, keberadaan UMNO itu dibuat atas kepentingan negara serta bagi menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong supaya sebuah kerajaan yang stabil dapat ditubuhkan.

“Tetapi Alhamdulillah, hari ini semua ada di depan kita (pemimpin MCA dan MIC),” katanya sambil mendapat sorakan gemuruh para perwakilan.

Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong dan Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan antara parti komponen yang turut hadir pada majlis ucapan dasar Ahmad Zahid pagi ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast