KUALA LUMPUR – Lebih 220,000 pekebun kecil sawit persendirian di seluruh negara kini meraih pendapatan melalui penanaman sawit yang meliputi keluasan melebihi 866,000 hektar.
Pada tahun 2025, industri sawit menyumbang lebih RM112 bilion kepada pendapatan eksport negara dan mewujudkan peluang pekerjaan kepada ratusan ribu rakyat di negara ini, tambahnya.
Dengan bimbingan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), para pekebun kecil sawit berupaya mengharungi pelbagai cabaran ekonomi melalui penglibatan aktif dalam Koperasi Penanam Sawit Mampan (KPSM).
Melalui 49 Pejabat Tunjuk Ajar dan Nasihat Sawit (TUNAS) MPOB di seluruh negara, MPOB menyediakan sokongan, khidmat nasihat serta bimbingan teknikal kepada pekebun kecil sawit persendirian melalui penubuhan KPSM dan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO), sekali gus menjamin daya saing serta akses minyak sawit negara ke pasaran global.
Berucap dalam program bersama masyarakat di Kemabong, Tenom, Sabah, kelmarin, Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, pihaknya kekal komited dalam memperkasa pekebun kecil sawit persendirian sejajar dengan usaha kerajaan meningkatkan kesejahteraan komuniti luar bandar dan kelestarian industri sawit negara.
Beliau turut menyarankan agar pekebun kecil sawit persendirian bekerjasama secara kolektif bagi menjayakan Koperasi Penanam Sawit Mampan (KPSM) yang berpotensi meningkatkan pendapatan ahli melalui pengurusan ladang yang lebih cekap, pengurangan kos operasi serta akses yang lebih baik kepada pasaran dan perkhidmatan sokongan industri.
“KPSM boleh menjalankan aktiviti keusahawanan seperti membekalkan baja, barangan keperluan pekebun kecil, perkhidmatan membaiki jalan, stesen minyak serta boleh menjual tandan buah segar (TBS) secara terus kepada kilang bagi mendapatkan harga yang kompetitif, katanya semasa menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Stesen Minyak (Portable Container System – PCS) KPSM Kemabong Tenom Berhad kelmarin.
Dalam program berasingan di Apin-Apin, Ahmad Parveez turut melancarkan Pusat Timbang Kedua KPSM Apin-Apin Bingkor Berhad sebagai satu langkah strategik dalam memperkukuh sistem pemasaran TBS pekebun kecil sawit setempat. Kemudahan ini berperanan meningkatkan ketelusan proses penimbangan, mempercepat urusan penghantaran ke kilang serta mengurangkan kos logistik, sekali gus membantu pekebun kecil memperoleh pulangan yang lebih adil dan kompetitif.
Menurutnya, inisiatif ini selaras dengan komitmen MPOB untuk memperkasa koperasi sebagai pemangkin peningkatan pendapatan dan kesejahteraan komuniti pekebun kecil sawit. – MalaysiaGazette
















