Akmal Nasrullah ketika berucap dalam Majlis Penyerahan Cek Cura Bantuan Awal Persekolahan Negeri Johor Tahun 2026 di Dewan Seminar, Jabatan Pendidikan Negeri Johor, Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir menekankan bahawa fokus utama kerajaan bagi 2026 adalah pelaksanaan dasar, selaras matlamat memastikan kesinambungan pembangunan dalam bidang pendidikan dan ekonomi.

“Setiap inisiatif yang dilaksanakan adalah sebahagian daripada proses berterusan yang memerlukan pengurusan berkesan bagi memastikan manfaat diperoleh pihak berkepentingan.

“Dalam kematangan kita mengemudi dasar, sama ada di peringkat pendidikan daerah, jabatan atau kementerian, isu kelangsungan ini mempunyai hubung kait rapat dengan bagaimana pelaksanaan sesuatu inisiatif mampu memberi manfaat kepada pihak lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penyerahan Cek Cura Bantuan Awal Persekolahan Negeri Johor Tahun 2026 di Dewan Seminar, Jabatan Pendidikan Negeri Johor, di sini hari ini.

Akmal Nasrullah menekankan hubungan rapat antara ekonomi dan pendidikan khususnya melalui Bantuan Awal Persekolahan yang menelan peruntukan sehingga RM800 juta.

Langkah itu katanya, memberikan impak positif kepada keluarga yang mempunyai anak bersekolah, melalui bantuan tunai RM150 bagi setiap pelajar.

Dalam majlis itu, sejumlah cek bantuan diserahkan kepada wakil-wakil Jabatan Pendidikan Daerah untuk diagihkan kepada ibu bapa pelajar.

Program itu bukan sahaja meringankan beban kewangan keluarga tetapi menyokong usaha kerajaan meningkatkan akses pendidikan berkualiti di seluruh negeri Johor.

Akmal Nasrullah turut menekankan bahawa kejayaan pelaksanaan dasar bergantung kepada kerjasama erat antara kementerian, jabatan dan komuniti, bagi memastikan setiap langkah memberi impak positif terhadap pembangunan sosioekonomi

Beliau menyeru semua pihak terus komited dalam menjayakan program kerajaan bagi memastikan objektif pembangunan pendidikan dan ekonomi negara dapat dicapai secara efektif pada 2026.- MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast