JOHOR BAHRU – Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) melarang meletak tabung derma yang menggunakan nama kebajikan Islam di premis seperti kedai runcit, warung dan klinik swasta sekitar negeri ini.
JAINJ dalam kenyataan memaklumkan, peniaga di kedai atau pemilik premis perniagaan juga perlu memberi kerjasama dengan melarang mana-mana pihak meletakkan tabung derma di kedai mereka.
“Sekiranya didapati melakukan perbuatan itu (meletakkan tabung derma), pemilik premis boleh ditahan di bawah Seksyen 106 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Johor 2003.
“Ada orang meletakkan tabung kononnya untuk pembangunan masjid, rumah anak yatim atau sekolah tahfiz, tetapi sebenarnya memperdayakan orang ramai serta masuk poket sendiri,” maklum kenyataan tersebut.
Jelas JAINJ, peniaga atau pemilik kedai wajar bekerjasama melarang perkara itu dan tuan kedai boleh ditangkap di bawah Seksyen 106 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Johor 2003.
Ini membawa hukuman denda sehingga RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, penguat kuasa JAINJ terus menggempur premis seperti kedai runcit, warung dan klinik swasta yang mempunyai tabung derma atas kebajikan Islam di premis berkenaan.
Satu operasi dijalankan di Kota Tinggi, Kluang dan Parit Raja, Batu Pahat antara pukul 9 pagi hingga 11.30 pagi kelmarin m bagi tujuan membanteras aktiviti berkenaan. – MalaysiaGazette
















