MELAKA – Exco DAP Melaka, Allex Seah Shoo Chin tidak akan tunduk kepada sebarang desakan termasuk daripada PAS supaya meletakkan jawatan susulan tindakan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh yang mengumumkan peletakan jawatan sebagai Exco sebelum ini.
Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri itu berkata, pendiriannya jelas berlandaskan prinsip Kerajaan Perpaduan, selain menghormati kepercayaan yang diberikan oleh Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, yang melantiknya pada 2021.
Beliau yang juga Setiausaha DAP negeri berkata, pelantikan itu juga mendapat persetujuan pucuk pimpinan partinya, justeru sebarang desakan daripada pihak lain tidak memberi kesan terhadap kedudukannya dalam kerajaan negeri ketika ini.
“Isu letak jawatan ini tidak seharusnya dipolitikkan kerana pelantikan seseorang Exco adalah berdasarkan kepercayaan Ketua Menteri serta persetujuan pucuk pimpinan parti masing-masing.
“Sekiranya beliau (Ab Rauf) tak nak saya sambung lagi jawatan Exco, ketika itulah saya kena letak jawatan bukan dari (desakan) pihak sekarang macam Pas atau sesiapapun yang suruh,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Khamis lalu, media melaporkan Pas Melaka menggesa DAP negeri itu membuktikan pendirian moral dan integriti politik mereka dengan melepaskan jawatan Exco dan Timbalan Speaker DUN Melaka.
Ahli Jawatankuasa Lajnah Politik PAS Melaka, Datuk Kamaruddin Sedik, berkata ia selari tindakan berprinsip Dr. Akmal yang meletak jawatan Exco Melaka secara sukarela.
Mengulas lanjut, Allex yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kesidang berkata, tindakan ADUN Merlimau itu yang meletakkan jawatannya tidak seharusnya memberi tekanan terhadapnya sebagai satu-satunya Exco tunggal DAP negeri.
“Fokus utama ketika ini adalah memperkukuhkan perpaduan dalam Kerajaan Negeri Melaka serta mengurangkan polemik politik yang boleh menjejaskan kestabilan pentadbiran.
“Paling penting ialah kita tumpukan kerja-kerja masyarakat dan kukuhkan perpaduan sehingga kerajaan ini benar-benar stabil,” katanya. – MalaysiaGazette
















