Suasana perwakilan yang hadir pada perasmian Konvensyen Tahunan DAP Selangor Tahun 2025 di Klang, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 18 JANUARI 2026.

KLANG – Setiausaha Agung DAP menegaskan cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada tidak lebih dua penggal serta pemisahan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya merupakan agenda reformasi utama yang tidak pernah diketepikan oleh parti untuk sekian lama.

Anthony Loke berkata, kedua-dua cadangan itu telah lama terkandung dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) dan menjadi asas penting dalam usaha memperkukuh sistem semak dan imbang dalam pentadbiran negara.

“Jawatan perdana menteri sebagai jawatan paling berkuasa dalam kerajaan perlu dihadkan tempohnya.

“Peguam Negara pula mesti dipisahkan kuasanya supaya wujud semak dan imbang terhadap kerajaan dan Perdana Menteri,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Tahunan DAP Selangor 2025, hari ini.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berucap pada Konvensyen Tahunan DAP Selangor Tahun 2025 di Klang, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 18 JANUARI 2026.

Anthony menegaskan, jawatan Pendakwa Raya dan Peguam Negara tidak wajar disandang oleh individu sama kerana ia melemahkan kebebasan institusi perundangan.

“Pendakwa Raya dan Peguam Negara adalah dua jawatan berbeza. Dua individu berbeza mesti dilantik,” ujarnya lagi.

Menurut beliau, pendirian itu bukan baharu malah telah dibentangkan secara terbuka dalam ucapan dasar Kongres Kebangsaan DAP pada Mac lalu di hadapan Perdana Menteri.

“Saya bentangkan kedua-dua cadangan ini secara berterus terang ketika itu,” katanya.

Anthony berkata, pendirian tersebut akhirnya diterjemahkan apabila perdana menteri pada 5 Januari lalu mengumumkan bahawa cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri serta pemisahan kuasa Peguam Negara akan dibawa ke Parlimen bagi meminda Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, agenda reformasi institusi menjadi keutamaan DAP susulan pengalaman negara berdepan skandal besar yang memberi kesan kewangan serius kepada negara.

“Itulah sebabnya isu skandal besar negara terus kita bawa supaya perubahan dan reformasi institusi benar-benar berlaku,” katanya.

Sehubungan itu, Anthony mengingatkan ahli-ahli parti supaya tidak terperangkap dengan kekeliruan atau syak wasangka terhadap kepimpinan DAP, sambil menegaskan parti itu kekal bersatu dan konsisten dengan hala tuju perjuangan.

“Kita mempunyai kepimpinan yang sangat bersatu padu. Walaupun ada perbezaan dari segi pendekatan dan pendapat, objektif dan hala tuju kita tetap sama,” katanya.

Anthony berkata, DAP bersedia meneruskan perjuangan reformasi institusi demi memastikan pentadbiran negara lebih telus, berintegriti dan bertanggungjawab. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast