JASIN – Pemandu sebuah kereta Perodua Axia berwarna biru dari Temerloh, Pahang yang meninggalkan kenderaan untuk keluar memancing di kawasan Pantai Siring, Kampung Pulai di sini ditemui selamat.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Lee Robert berkata, anak kepada pemilik kenderaan milik wanita berusia 60 tahun yang tinggal di Temerloh, Pahang telah pulang ke rumah dalam pukul 1 pagi tadi.
Menurutnya, ia selepas individu berkenaan keluar memancing di kelong berhampiran lokasi kereta ditinggalkan.
“Dia sudah balik sekitar 9 malam sebelum selamat sampai di rumah kira-kira 1 pagi tadi dan ia bukanlah kes jenayah. Kenderaan diparkir sementara ketika anak pemilik kenderaan dari Temerloh itu pergi memancing ikan di kelong.
“Isu ini timbul kerana keprihatinan penduduk terhadap keselamatan kawasan mereka,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut beliau, pemeriksaan ke atas kenderaan tersebut dilakukan anggota dari Balai Polis Merlimau malam tadi juga mendapati tiada kesalahan dilakukan.
Terdahulu, MalaysiaGazette melaporkan kes berkenaan tular di media sosial selepas penduduk meluahkan kebimbangan terhadap sebuah kereta yang ditinggalkan lama dan dikhuatiri melibatkan kejadian lemas. – MalaysiaGazette
















