Sebuah kereta merempuh empat kenderaan dan sebuah rumah semasa mengelak anjing melintas di Taman Permas Jaya, Johor Bahru semalam.

JOHOR BAHRU – Seorang pemandu e-hailing hilang kawalan sebelum merempuh empat kenderaan dan sengkuap rumah semasa mengelak anjing melintas di Jalan Permas 1, Taman Permas Jaya di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kemalangan tersebut berlaku pukul 4.10 petang membabitkan empat kereta, sebuah motosikal dan sebuah rumah.

“Kejadian ini membabitkan seorang lelaki berusia 26 tahun yang bekerja sebagai pemandu e-hailing. Ketika kejadian, pemandu berkenaan yang menggunakan kereta jenis Honda City dalam perjalanan dari Pasir Gudang menghala ke sebuah kawasan perumahan.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu berkenaan cuba mengelak haiwan dipercayai anjing yang tiba-tiba melintas di laluan,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelasnya, ia menyebabkan keretanya memasuki laluan bertentangan lalu melanggar sebuah motosikal, sebuah rumah dan tiga kereta yang diletakkan di hadapan rumah terbabit.

Beliau berkata, pemandu e-hailing itu tidak mengalami kecederaan manakala penunggang motosikal mengalami cedera ringan di beberapa bahagian badan dan dibawa ke Hospital Sultan Ismail untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai sehingga menyebabkan kemalangan.

“Orang awam yang menyaksikan kejadian ini diminta untuk tampil menyalurkan maklumat dengan menghubungi balai trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan,” ujarnya.

Mereka juga boleh berhubung terus dengan pegawai penyiasat, inspektor Hafiz Jaafar menerusibtalian 017-5919208 bagi membantu siasatan.

“Orang ramai dinasihati sentiasa berhati-hati ketika memandu, mematuhi undang-undang jalan raya serta memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik bagi mengelakkan kejadian kemalangan,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast