TANGKAK – Hasrat seorang pekerja kedai aksesori kenderaan untuk menambah pendapatan dengan melabur tidak kesampaian apabila wang simpanan RM76,423 lebur akibat diperdaya sindiket penipuan pekerjaan yang tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd Talib berkata, mangsa iaitu seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun mendapat tawaran pekerjaan sambilan pada 16 Januari lalu.

“Mangsa ditawarkan pekerjaan sambilan menerusi aplikasi WhatsApp. Mangsa dijanjikan akan dibayar komisyen setelah selesai tugasan yang diberikan.

“Mangsa yang berminat dengan tawaran tersebut kemudian diarah melakukan beberapa tugasan seperti menaikkan rating penjualan barangan terkemuka dalam laman web,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa melakukan 15 transaksi ke dalam tujuh akaun berbeza yang melibatkan jumlah RM76,423.

Katanya, selepas melakukan tugasan diberikan suspek, mangsa tidak memperoleh sebarang komisyen seperti yang dijanjikan.

Lelaki berkenaan yang menyedari diperdaya katanya, membuat laporan polis di sini semalam mendakwa menjadi mangsa kes penipuan sindiket tersebut.

Beliau memberitahu, kes disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara hingga 10 tahun dan boleh dikenakan sebatan serta denda. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast