KUALA LUMPUR – Penglibatan coach cerai yang didapati melanggar mana-mana peruntukan undang yang berkuatkuasa boleh disabitkan kesalahan dan dikenakan hukuman di bawah Seksyen 38 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, isu coach cerai memberi pengajaran bahawa memberi nasihat berkaitan perkahwinan dan perceraian memerlukan ilmu, kefahaman dan bimbingan yang tepat.
Namun tegas beliau, nasihat yang tidak bersandarkan syariat atau datang daripada pihak yang tidak berkelayakan bukan sahaja boleh mengelirukan malah berpotensi merosakkan rumah tangga dan menjejaskan kesejahteraan emosi pasangan.
“Masyarakat perlu sedar bahawa Islam menekankan pendekatan berhemah melalui islah dan rundingan yang adil sebelum mengambil sebarang tindakan drastik.
“Oleh itu, mendapatkan nasihat daripada pihak berautoriti seperti kaunselor bertauliah, jabatan agama Islam negeri atau mahkamah syariah bukan sahaja melindungi hak dan tanggungjawab suami isteri malah memastikan setiap keputusan dibuat dengan hikmah, berpandukan syariat dan memberi manfaat jangka panjang.
“Kesedaran ini penting untuk membina masyarakat yang bijak dalam menilai nasihat, memelihara institusi keluarga dan mengelak daripada kerosakan yang boleh dielakkan,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen, hari ini.
Beliau menjawab soalan Shaharizukirnain Abd. Kadir (PN-Setiu) yang minta meminta pendirian tegas Kerajaan terhadap trend coach cerai di media sosial dan adakah tindakan mereka boleh didakwa di bawah kesalahan jenayah syariah iaitu takhbib (menghasut isteri/suami) memandangkan ia menggugat institusi kekeluargaan.
Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengambil maklum mengenai istilah coach cerai yang telah tular susulan penggunaan gelaran tersebut dalam kes perceraian yang melibatkan artis dan selebriti baru-baru ini.
Katanya, perkembangan itu menyentuh urusan serta pentadbiran hal ehwal Islam, khususnya berkaitan perkahwinan orang Islam, yang sewajarnya dirujuk dan ditangani oleh pihak berautoriti yang sah mengikut peruntukan undang-undang dan hukum syarak.
Ujarnya, kerajaan telah menegaskan penggunaan khidmat yang dipromosikan sebagai coach cerai tidak seharusnya menjadi amalan dalam kalangan umat Islam di negara ini kerana berisiko mendorong pasangan ke arah perceraian.
“Masyarakat Islam seharusnya merujuk kepada institusi yang berautoriti antara lain, seperti JAKIM, Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) bagi sebarang permasalahan berkaitan isu rumahtangga.
“Dalam Islam, takhbib ialah perbuatan hasutan atau fitnah yang bertujuan memisahkan suami isteri atau meruntuhkan institusi perkahwinan, dianggap dosa besar dan sangat dikecam kerana ia mengkhianati ikatan suci perkahwinan.
“Ia melibatkan campur tangan pihak ketiga yang berniat jahat untuk merosakkan hubungan rumah tangga, sama ada melalui kata-kata, perbuatan atau fitnah untuk menimbulkan ketidakpercayaan dan pertengkaran,” katanya. – MalaysiaGazette
















