KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini membebaskan bekas Timbalan Pengerusi Eksekutif Malaysian Merchant Marine Bhd (MMM), Datuk Ramesh Rajaratnam daripada sabitan kes dagangan orang dalam.
Keputusan itu sekali gus mengetepikan hukuman penjara lima tahun dan denda RM3 juta yang dikenakan terhadapnya sebelum ini oleh Mahkamah Sesyen tujuh tahun lepas.
Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk K Muniandy yang bersidang sebagai hakim Mahkamah Tinggi membenarkan rayuan Ramesh selepas mendapati keterangan dikemukakan pihak pendakwaan gagal membuktikan kesalahan di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA).
Menurut beliau, liabiliti jenayah tertuduh perlu dinilai berdasarkan keseluruhan kronologi kes dan bukannya berpandukan keadaan tertentu secara terasing.
Ramesh didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 29 April 2015 atas tiga pertuduhan dagangan orang dalam mengikut Seksyen 188(2)(a) CMSA.
Selepas perbicaraan penuh, beliau disabitkan bersalah dan dijatuhi hukuman penjara lima tahun serta denda RM3 juta bagi setiap pertuduhan.
Pada 20 Mei 2021, Mahkamah Tinggi membatalkan sabitan tersebut namun Mahkamah Rayuan kemudiannya memutuskan Mahkamah Tinggi tersilap kerana tidak meneliti merit kes, lalu mengembalikan semula satu sabitan dan mengarahkan rayuan itu didengar semula.
Pertuduhan pertama membabitkan dakwaan Ramesh menjual lima juta saham MMM pada Januari 2010 ketika didakwa memiliki maklumat dalaman mengenai cadangan penurunan penarafan kredit MMM oleh Malaysian Rating Corp Bhd terhadap sekuriti hutang Islamik bernilai RM120 juta.
Dalam penghakimannya, Muniandy berkata, bukti menunjukkan Ramesh telah merancang untuk melupuskan saham berkenaan seawal Oktober 2009, iaitu sebelum sebarang maklumat dalaman berkaitan penarafan kredit wujud.
“Kes ini tidak bermula dengan penerimaan maklumat dalaman, sebaliknya dengan tindakan awal tertuduh yang dibuat secara terbuka,” katanya.
Mahkamah turut mendapati penjualan saham itu adalah sebahagian daripada perancangan korporat yang telah ditetapkan lebih awal dan bukan didorong oleh maklumat sulit.
Menurut hakim, menjelang Disember 2009, pasaran sudah mengetahui kedudukan kewangan MMM termasuk kemungkinan penggantungan bon.
Muniandy juga mengambil kira keterangan hasil jualan saham digunakan untuk menampung keperluan operasi syarikat termasuk pembayaran gaji kakitangan, caruman KWSP dan kos operasi lain, selain mendapati Ramesh mengalami kerugian peribadi sebanyak RM1.48 juta.
Beliau menegaskan, transaksi itu bukan bertujuan mendapatkan keuntungan atau mengelakkan kerugian peribadi, sebaliknya memastikan kelangsungan syarikat.
“Dalam kes jenayah, sekiranya wujud keraguan, keraguan itu mesti memihak kepada tertuduh,” ujarnya.
Mahkamah kemudian mengetepikan sabitan dan hukuman serta melepaskan dan membebaskan Ramesh yang hadir di mahkamah. – MalaysiaGazette
















