KUALA LUMPUR – Kemalangan maut membabitkan yang mengorbankan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 9 Jun 2025 di Kilometer 53 (KM53), Jalan Raya Timur–Barat (JRTB) berpunca daripada kegagalan sistem brek dan tindakan pemandu semasa pemanduan menuruni cerun.
Laporan Akhir Siasatan Keselamatan Pengangkutan Jalan yang melibatkan nahas itu mendedahkan, sistem brek bas terjejas akibat perubahan bentuk dan kehausan brak drum belakang sebelah kiri, serta pencemaran gris/minyak pada brake lining dan ketidakseragaman komposisi bahan lining.
“Pada masa yang sama, bas dipandu pada kelajuan yang melebihi kelajuan selamat laluan. Penggunaan brek secara agresif pada kelajuan tinggi menyebabkan peningkatan suhu komponen brek secara mendadak, seterusnya memburukkan degradasi haba dan mengurangkan keberkesanan brek secara progresif
“Gabungan kegagalan brek dan kelajuan berlebihan ini menyebabkan bas hilang kestabilan, tergelincir dan terbalik. Semasa kejadian tersebut, bas menghentam penghadang W-beam yang kemudiannya menembusi ruang kabin bas,
mengakibatkan kecederaan parah serta kematian dalam kalangan penumpang,” menurut laporan itu.
Laporan setebal 188 muka surat itu mendedahkan, walaupun ada rekod penyelenggaraan menunjukkan kerja penggantian brake lining bertarikh 9 Februari 2025 dan kerja penggantian bearing hub bertarikh 23 September 2024 telah dibuat, namun ia dilaksanakan oleh sebuah bengkel yang tidak bertauliah.

Katanya, pemeriksaan fizikal statik awal menunjukkan keadaan luaran tayar dan komponen brek kelihatan memuaskan namun pemeriksaan teknikal lanjutan mendapati brak drum belakang sebelah kiri mengalami kehausan dan perubahan bentuk dengan ketebalan di bawah spesifikasi pengeluar.
“Analisis forensik makmal seterusnya mengesahkan pencemaran gris/minyak pada brake lining serta ketidakseragaman komposisi bahan lining, yang tidak dapat dikesan melalui pemeriksaan visual biasa,” menurut laporan tersebut.
Tragedi yang menyayat hati itu berlaku kira-kira jam 1.10 pagi, melibatkan sebuah bas persiaran milik syarikat Kenari Utara Travel & Tours Sdn. Bhd. yang disewa khas untuk membawa 42 orang pelajar UPSI, dalam perjalanan dari Jerteh, Terengganu ke Tanjung Malim, Perak.
Nahas berlaku di jalan yang menghubungkan Jeli, Kelantan dan Gerik, Perak.
Bas tersebut dipercayai telah hilang kawalan semasa menuruni laluan berbukit dan berselekoh sebelum melanggar sebuah motokar pelbagai utiliti (MUV) Perodua Alza yang sedang bergerak di arah yang sama dengan dinaiki empat orang sekeluarga.
Kemalangan yang berlaku di laluan bercerun curam ini menyebabkan bas terbabas dan terbalik ke bahu jalan sebelah kiri menghala ke Gerik, manakala MUV Perodua Alza terbabas ke dalam longkang di bahu jalan bertentangan.

Akibat kemalangan ini, seramai 15 orang pelajar UPSI terkorban manakala kedua-dua pemandu bas serta penumpang lain mengalami kecederaan pada pelbagai tahap.
Pemandu dan penumpang MUV Perodua Alza turut mengalami kecederaan, namun tiada kematian dilaporkan dalam kenderaan tersebut.
Kejadian berlaku pada waktu malam di kawasan berselekoh tajam dan bercerun curam, dalam keadaan cuaca baik serta permukaan jalan yang kering, namun tanpa kemudahan lampu jalan.
Selain itu, laporan berkenaan turut mendapati lokasi kejadian merupakan jajaran jalan berselekoh menurun dan berbukit, tanpa lampu jalan pada waktu kejadian, dengan jarak penglihatan terhad serta garisan jalan yang pudar.
Katanya, permukaan jalan lokasi nahas turut alami kerosakan termasuk alligator cracking yang berpotensi menjejaskan cengkaman tayar.
Reflektor dan delineator pada penghadang jalan W-beam serta road studs tidak diselenggara; papan tanda chevron didapati tidak retroreflektif dan dalam keadaan fizikal yang uzur.
Menurut laporan itu, penghadang jalan jenis W-beam didapati rosak selepas perlanggaran dan pemeriksaan pemasangan mendapati ketidakpatuhan spesifikasi, termasuk jarak tiang sekitar 3.8 meter (melebihi spesifikasi), sambungan splice dipasang secara terbalik, bolt hilang, serta terminal tidak berflare, menyebabkan penghadang bertindak sebagai objek penembus ke dalam kabin.

Selain itu, kekurangan papan tanda amaran yang berkesan, garisan jalan yang jelas, serta kegagalan penghadang W-beam untuk berfungsi sebagai sistem keselamatan pasif meningkatkan risiko dan keparahan kejadian.
“Ketiadaan sistem kawalan dan pemantauan kelajuan seperti SLD atau GPS menghalang pengesanan awal pemanduan berisiko. Ketiadaan ciri keselamatan pasif, khususnya tali pinggang keselamatan bagi penumpang bas, turut menyumbang kepada tahap kecederaan yang lebih teruk.
“Kegagalan struktur kabin bas dan penembusan penghadang jalan ke dalam ruang penumpang, digabungkan dengan ketiadaan perlindungan keselamatan pasif, merupakan faktor kritikal yang menentukan tahap kecederaan dan kebolehselamatan mangsa,” menurut laporan tersebut lagi.
Laporan itu juga memaklumkan analisis kinematik serta rakaman video dashcam daripada kenderaan awam lain menganggarkan kelajuan bas ketika memasuki selekoh adalah sekitar 114.7 km/j, melebihi had laju yang ditetapkan bagi jajaran tersebut (60 km/j) serta melepasi ambang kritikal untuk kejadian gelinciran dan terbalik, yang dianggarkan antara 111.3 hingga 114.5 km/j.
“Urutan perlanggaran dikenal pasti konsisten, bermula dengan gelinciran, diikuti condongan dan terbalik ke kiri, pelanggaran serta penumbangan penghadang W-beam, dan seterusnya perlanggaran dengan bahagian belakang Perodua Alza,” kata laporan itu.
Laporan itu menyimpulkan, kemalangan ini berpunca daripada gabungan kompleks faktor mekanikal, manusia, persekitaran dan organisasi.

Foto: Aniq Nabilafiq Anuar
Jelas laporan itu, kegagalan sistem brek bas yang tercemar dan tidak seragam, digabungkan dengan pemanduan pada kelajuan melebihi had selamat, telah menyebabkan kehilangan kawalan kenderaan.
Keadaan jalan yang mencabar, kelemahan reka bentuk dan pemasangan penghadang jalan, serta kegagalan struktur kabin bas telah meningkatkan keterukan impak dan kecederaan.
Di samping itu, amalan pengendalian tidak sah, ketidakpatuhan terhadap keperluan keselamatan, serta kelemahan kawal selia dan penguatkuasaan mencerminkan isu sistemik dalam industri pengangkutan pelancongan.
“Kesemua faktor ini secara kolektif telah menyumbang kepada insiden tragis ini,” kata laporan itu. – MalaysiaGazette
















