Mohamed Shamir Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Human Resource Development Corporation (HRD Corp) mengumumkan pelantikan Datuk Mohamed Shamir Abdul Aziz sebagai ketua eksekutifnya, berkuat kuasa hari ini.

Mohamed Shamir memiliki pengalaman kepimpinan yang luas merentasi pelbagai sektor, dengan rekod prestasi cemerlang dalam pengurusan organisasi, pelaksanaan strategi dan pembangunan institusi, termasuk pengalaman dalam pengurusan institusi
mikro kredit bagi menyokong pembangunan sosioekonomi.

Sebelum pelantikannya, Mohamed Shamir berkhidmat sebagai Pengarah Urusan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), yang merupakan sebuah institusi kewangan mikro nasional.

Dalam peranan tersebut, beliau bertanggungjawab menyelia inisiatif strategik bagi meningkatkan prestasi institusi, memperkukuh rangka kerja operasi serta memajukan pembangunan sosioekonomi yang inklusif.

Sepanjang tempoh lapan tahun di bawah kepimpinan Mohamed Shamir, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) telah mengekalkan kadar bayaran balik yang cemerlang iaitu 99.98 peratus, serta mencapai kadar bayaran balik penuh 100 peratus pada tahun
2025.

Selain itu, pengiktirafan AIM sebagai Pemenang Kepimpinan Pasaran (Pembiayaan Mikro) pada Anugerah Kewangan Islam Global 2025 (Global Islamic Finance Awards, GIFA) merupakan satu pencapaian penting dalam perjalanan institusi tersebut dan
mencerminkan kemajuan berterusan serta kecemerlangan AIM dalam sektor pembiayaan mikro di bawah kepimpinan beliau.

Beliau memiliki Ijazah Sarjana Perancangan Bandar dan Wilayah dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), sekali gus membekalkan asas yang kukuh dalam perancangan dasar, pembangunan mampan serta penyelarasan merentas sektor.

Pelantikan beliau adalah selari dengan usaha HRD Corp untuk terus memperkukuh mandatnya dalam memacu pembangunan kemahiran, latihan tenaga kerja dan kelestarian modal insan, sejajar dengan keutamaan nasional serta keperluan majikan dan
tenaga kerja yang sentiasa berkembang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast