Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) merakamkan penghargaan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas tindakan proaktif menyiasat dakwaan penyelewengan dana pelaburan berskala besar dikaitkan dengan seorang individu bergelar Tan Sri.

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya menyambut baik penahanan dan tindakan reman yang diambil SPRM terhadap suspek utama serta individu lain bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Menurutnya, siasatan SPRM pada peringkat awal bermula susulan maklumat mengenai penyelewengan dana sekitar RM10 juta namun perkembangan siasatan seterusnya mendapati jumlah sebenar dipercayai jauh lebih besar.

“Hasil siasatan lanjut menunjukkan penyelewengan itu berkemungkinan mencecah ratusan juta ringgit sekurang-kurangnya RM300 juta melibatkan tempoh antara 2021 hingga 2024,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Beliau berkata, MHO sendiri sebelum ini menerima kira-kira 200 aduan daripada pelabur berkaitan skim pelaburan dikenali sebagai Islamic Redeemable Preferential Shares (IRPS), yang didakwa menyasarkan kumpulan pelabur berprofil tinggi.

Menurutnya, skim berkenaan turut menggunakan nama tokoh-tokoh ternama termasuk dalam sektor perbankan Islam bagi meyakinkan pelabur menyertai pelaburan tersebut.

“MHO sudah lama tampil berjuang tentang penipuan pelaburan IPRS ini. Aduan pengadu kita cecah jutaan ringgit yang lebih menyedihkan mengejutkan apabila syarikat pelaburan menggunakan nama besar untuk menarik mangsa.

“Kami telah membuat aduan kepada beberapa agensi penguat kuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti.

“Terbaharu, aduan turut dikemukakan kepada SPRM di bawah Seksyen 18 Akta SPRM berkaitan dakwaan pemerdayaan dan salah guna kuasa dalam pengumpulan dana awam,” ujarnya.

Azam Baki sebelum ini mengesahkan siasatan kini memfokuskan kepada penjejakan aliran dana bagi tujuan pemulihan aset dengan penglibatan Bahagian Analisis Kewangan serta Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram.

Setakat ini, sebanyak 14 akaun milik individu dan syarikat telah dibekukan, manakala lebih banyak akaun dijangka akan dibekukan susulan perkembangan siasatan.

Hishamuddin berharap kertas siasatan dapat dilengkapkan dan dikemukakan kepada pihak pendakwaan agar tindakan sewajarnya dapat diambil terhadap mana-mana pihak yang terbukti menyeleweng dana pelabur. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Dana RM300 juta dikutip sejak 2021 disyaki diseleweng, dalang bergelar Tan Sri

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast