UTM

JOHOR BAHRU – Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026–2035 disifatkan sebagai satu kerangka nasional yang menyeluruh dan bersepadu dalam memacu pembangunan pendidikan negara.

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melihat RPN yang didokong dua pelan utama iaitu Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) dan Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) sebagai satu pelan strategik nasional.

Jelas UTM, dua pelan utama tersebut menetapkan hala tuju pendidikan negara secara menyeluruh, inklusif dan progresif untuk dekad akan datang.

“RPTM dilihat sebagai satu perubahan struktural dalam pemikiran terhadap peranan pendidikan tinggi, daripada sekadar laluan akademik kepada wahana pembentukan nilai manusiawi, pemangkin ekonomi berteraskan inovasi dan pemacu kemajuan negara berteraskan nilai peradaban tinggi.

“RPTM bukan sahaja memacu daya saing pendidikan tinggi, malah mengangkat dimensi adab, nilai manusiawi dan kesejahteraan masyarakat sebagai teras pembangunan negara, sejajar gagasan Malaysia Madani,” menurut UTM dalam satu kenyataan.

UTM memaklumkan, pendekatan itu sejajar aspirasi pihaknya untuk melahirkan graduan yang bukan hanya berpengetahuan dan berkemahiran, tetapi juga beradab, beretika dan bertanggungjawab kepada pembangunan masyarakat, industri serta negara.

“Inisiatif jaminan tempat di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) untuk pelajar cemerlang serta penambahan 1,500 tempat kursus di IPTA mencerminkan komitmen kerajaan dalam memelihara ekosistem kecemerlangan negara melalui pembentukan bakat terbaik negara.

“UTM menyokong pendekatan ini kerana kecemerlangan akademik perlu terus diraikan dalam kerangka yang menekankan adab dalam keilmuan iaitu ilmu yang digunakan untuk memakmur dan mensejahtera negara, demi mencipta impak bermakna untuk masyarakat.”

Pada masa yang sama, UTM turut melihat pendidikan percuma untuk pelajar orang kurang upaya (OKU) dan pelajar daripada keluarga miskin tegar serta penyediaan tambahan 5,000 penginapan pelajar oleh GLIC, memperlihatkan penegasan jelas terhadap nilai manusiawi dalam dasar pendidikan tinggi.

UTM berpandangan bahawa akses saksama dan kesejahteraan pelajar merupakan asas penting kepada kejayaan akademik, pembangunan bakat dan mobiliti sosial yang mampan sekali gus mendokong aspirasi Kerangka Ekonomi Madani yang memperkasa rakyat.

Keputusan untuk meletakkan Program Tingkatan Enam dan Matrikulasi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi mulai 2027 pula ujar UTM, merupakan langkah strategik yang menyokong kesinambungan sistem pendidikan negara.

UTM melihat penyelarasan itu sebagai peluang untuk membina laluan pra-universiti yang lebih berdaya maju, berorientasikan ramuan membentuk bakat global berpemikiran masa hadapan dan menyediakan kesiapsiagaan yang lebih awal untuk pelajar melangkah ke alam pendidikan tinggi.

UTM turut menyokong pemerkasaan Subjek Mata Pelajaran Umum (MPU) sebagai platform penting untuk membentuk graduan holistik.

Dalam era kecerdasan buatan (AI) dan teknologi disrupti ujar UTM, penguasaan ilmu teknikal perlu diseimbangkan dengan kefahaman nilai, etika, sejarah dan tanggungjawab sosial agar kemajuan teknologi tidak menghakis kemanusiaan, sebaliknya mengangkat karamah insaniah ke tahap lebih tinggi.

Seiring itu, UTM melihat AI sebagai pemangkin kepada transformasi pendidikan tinggi, bukan sekadar alat teknologi, tetapi sebagai pemboleh daya kepada pembelajaran yang fleksibel dan mengikut potensi pelajar, penyelidikan berimpak tinggi dan inovasi yang berteraskan penyelesaian lestari dalam konteks dunia sebenar.

Pendekatan itu perlu digerakkan dengan adab dan tadbir urus yang jelas agar AI memperkasa manusia, bukan menggantikan peranan manusia.

“Akhirnya, pemerkasaan Bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta peluasan akses pendidikan tinggi dilihat sebagai komponen penting dalam pengukuhan ekonomi negara.

“Pendidikan tinggi yang relevan, fleksibel dan berpaksikan keperluan industri akan melahirkan bakat berkemahiran tinggi, menyokong pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan daya tahan negara dalam menghadapi cabaran global.”

Secara keseluruhan, UTM yakin bahawa RPN 2026–2035 menyediakan asas kukuh ke arah ekosistem pendidikan yang menekankan nilai adab dan kemanusiaan, progresif dan berimpak.

UTM kekal komited untuk bekerjasama erat dengan Kementerian Pendidikan Tinggi dan semua pihak berkepentingan bagi merealisasikan aspirasi nasional ini.

Tambah UTM, ini bagi masa depan negara mampan dan pembentukan generasi akan datang yang mencipta kemakmuran serta kesejahteraan sejagat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast