KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga Bangladesh dipenjara dua tahun oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam selepas didapati bersalah menyembunyikan dan melindungi empat migran senegaranya.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, tertuduh berusia 21 tahun itu disabitkan di bawah Seksyen 26H, Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 [Akta 670].
“Hukuman terhadap Rabbi Hosen diputuskan Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 22 Januari lalu selepas didapati bersalah bertindak sebagai penjaga rumah penampungan migran yang dijadikan premis transit bagi aktiviti penyeludupan migran.
“Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama dua tahun dan diperintah berkuat kuasa dari tarikh tertuduh ditangkap,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Zakaria, tangkapan itu adalah hasil operasi khas oleh Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia pada 4 November 2025 di Rumah Pangsa Rampai Idaman, Prima Damansara, Petaling Jaya.
Katanya, dalam operasi itu tertuduh bersama empat migran telah ditemui di dalam sebuah unit kediaman di alamat tersebut dipercayai bagi aktiviti penyeludupan migran.
“JIM menegaskan tindakan undang-undang tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu, sindiket, majikan, atau pemilik premis yang menggaji, melindungi, atau bersekongkol dengan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).
“Masyarakat digesa untuk tidak melindungi atau membantu pihak yang melanggar undang- undang imigresen, dan sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan haram boleh disalurkan melalui saluran rasmi aduan JIM.
“JIM komited untuk terus memperkukuh operasi penguatkuasaan bagi memastikan kedaulatan dan keselamatan negara sentiasa terpelihara,” katanya. – MalaysiaGazette
















