KUALA LUMPUR — Deruman enjin 1,000 kenderaan pacuan empat roda (4×4) di Kuala Terengganu, Terengganu pada 31 Januari ini bukan sekadar konvoi sebaliknya membawa mesej kemanusiaan untuk Gaza.
Menerusi program Drive For Gaza 1.0, komuniti 4×4 dari seluruh negara dijangka berkumpul di perkarangan Jambatan Angkat seawal 8 pagi sebelum memulakan konvoi kira-kira 20 kilometer sekitar bandar raya ini.
Pengerusi DVAC Malaysia selaku wakil penganjur, Khairul Badri Abdul Basit berkata, perhimpunan itu dianjurkan bagi memberi suara kepada rakyat Gaza yang terus menjadi mangsa konflik berpanjangan.
“Apa yang berlaku di Gaza adalah tragedi kemanusiaan. Ini tentang nyawa orang awam yang hilang, kanak-kanak yang kebuluran dan keluarga yang kehilangan tempat tinggal.
“Kami turun ke jalan raya untuk menyatakan bahawa penderitaan ini tidak boleh didiamkan,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Program berkenaan digerakkan oleh DVAC Malaysia dengan kerjasama Muslim Care Malaysia serta gabungan komuniti 4×4 Malaysia, dan tidak membawa sebarang agenda politik.
Perhimpunan itu turut mendapat sokongan kerajaan negeri Terengganu dengan penglibatan beberapa agensi negeri serta kehadiran tetamu rasmi.
Difahamkan juga, program berkenaan dijadual dirasmikan oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai tanda solidariti negeri itu terhadap perjuangan kemanusiaan rakyat Palestin.
Antara pengisian yang dirancang ialah tayangan visual situasi sebenar di Gaza menerusi skrin LED, forum Palestin bersama Ustaz Azhar Idrus, forum Global Sumud Flotila serta gerai jualan.
Penganjur memaklumkan, Drive For Gaza 1.0 juga menjadi permulaan kepada Misi Drive For Gaza Global, satu usaha berterusan untuk menyatukan NGO dan komuniti di dalam serta luar negara bagi menyalurkan bantuan kemanusiaan melalui saluran dipercayai.
Orang ramai dijemput hadir bagi bersama-sama menyatakan solidariti terhadap rakyat Gaza dengan tema, ‘Dari Nusantara Kita Bermula, Di Gaza Kita Bersatu’. – MalaysiaGazette
















