Pathmanathan.

GEORGE TOWN – Kira-kira 26,000 pengguna bekalan air di Seberang Perai Utara (SPU) dan Seberang Perai Tengah (SPT) dinasihatkan supaya menyimpan air secukupnya bagi tempoh 24 jam bermula Rabu hingga Khamis ini sebagai langkah berjaga-jaga.

Kawasan terlibat di SPU adalah Sungai Dua, manakala di SPT melibatkan Alma, Bukit Mertajam termasuk Pekan Bukit Mertajam, Bukit Minyak, Bukit Teh, Cherok Tokun, Kampung Baru, Kampung Kota, Kota Permai, Machang Bubok, Padang Lalang, Penanti, Permatang Pasir, Sungai Rambai, Taman Bukit, Taman Bukit Indah dan Taman Sentosa.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk K. Pathmanathan berkata, nasihat itu dikeluarkan berikutan pelaksanaan kerja penyambungan akhir Saluran Paip Menyeberangi Sungai Perai kedua (SP-RCP ke-2) yang dijadualkan pada 28 Januari ini.

Kata beliau, kerja berkenaan akan dijalankan berhampiran Restoran Sri Tambang dan Restoran Aur Gading di Sungai Dua, melibatkan saluran paip utama berdiameter 900 milimeter.

“PBAPP akan menggunakan kaedah ‘hot tapping’ dan ‘line stopping’ bagi membolehkan kerja penyambungan dilaksanakan tanpa menutup saluran paip utama yang menyalurkan air terawat dari Loji Rawatan Air Sungai Dua.

“Melalui penggunaan teknologi ini, bekalan air kepada kira-kira 26,000 pengguna di SPU dan SPT dapat diteruskan seperti biasa,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Katanya, susulan penggunaan teknologi tersebut, tiada gangguan bekalan air berjadual akan dilaksanakan di Pulau Pinang.

Jelas beliau, kerja-kerja penyambungan akhir itu dijangka tidak menjejaskan perkhidmatan bekalan air di kedua-dua daerah berkenaan.

“Bagaimanapun, memandangkan ini merupakan kali pertama teknologi ‘hot tapping’ dan ‘line stopping’ digunakan bagi kerja penyambungan akhir saluran paip utama berskala besar di Pulau Pinang, pengguna dinasihatkan supaya mengambil langkah berjaga-jaga.

“Sehubungan itu, kita mohon kerjasama semua pengguna air di SPU dan SPT untuk menyimpan bekalan air secukupnya bagi kegunaan selama 24 jam sekiranya berlaku sebarang situasi yang tidak dijangka.

“Kita akan maklum perkembangan terkini kerja penyambungan akhir SP-RCP ke-2 dari semasa ke semasa melalui laman Facebook PBAPP dan pengguna yang menghadapi sebarang masalah bekalan air sepanjang 28 dan 29 Januari ini boleh menghubungi Pusat Panggilan 24 jam PBAPP di talian 04-255 8255,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast