Dr Zuhan Zain.

JOHOR BAHRU – Parti Amanah Negara (Amanah) Johor menolak pendekatan politik emosional ditonjolkan Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN), Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh yang dilihat lebih bersifat provokasi dan tidak menawarkan penyelesaian sebenar kepada rakyat.

Naib Pengerusi Amanah Johor, Dr Zuhan Zain berkata, Amanah tidak akan terperangkap sebaliknya terus berpolitik berdasarkan fakta, realiti semasa dan pertimbangan rasional, bukan politik perasaan yang hanya mengelirukan pengundi.

“Keutamaan Amanah Johor adalah memastikan kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara, bukannya terjebak dalam persaingan tidak strategik.

“Amanah Johor kekal menyokong rundingan kerusi secara berprinsip, selari dengan pendirian pimpinan nasional, selagi ia mengutamakan kepentingan rakyat dan tidak menggadai prinsip perjuangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Amanah Johor ingin menegaskan pendirian bahawa pendekatan politik yang dibawa mereka adalah berasaskan prinsip, rasional dan kepentingan rakyat, bukan politik emosi atau retorik provokatif.

“Amanah Johor menyokong penuh pendirian pimpinan nasional, sebagaimana yang ditegaskan oleh Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad yang menekankan keperluan kebijaksanaan, rundingan dan kematangan politik dalam menghadapi PRN,” katanya.

Tambahnya, pendirian itu mencerminkan komitmen Amanah Johor untuk mendahulukan kepentingan rakyat dan kestabilan negeri, bukan kepentingan sempit atau sentimen jangka pendek.

Justeru katanya, Amanah Johor menyeru semua pihak agar menghentikan politik emosi dan kembali kepada budaya politik matang, berfakta serta bertanggungjawab demi masa depan Johor.

Semalam, Akmal yang juga Ketua Pemuda UMNO mengingatkan Amanah tidak perlu mengeluarkan sebarang amaran berhubung isu agihan kerusi bagi mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor akan datang.

Sebaliknya, Akmal Saleh mengajak parti komponen Pakatan Harapan (PH) itu supaya berlawan dengan BN di kedua-dua PRN berkenaan.

“Tidak perlu acah-acah nak bagi amaranlah. Ingat kami ini apa nak bagi amaran bagai. Lawan jer lah, sembang apa,” ujar Akmal dalam Facebook miliknya.

Akmal mengulas kenyataan Khalid yang meminta supaya BN bersikap lebih terbuka dengan bersedia berunding dan melepaskan kerusi disandang pada PRN Melaka dan Johor.

Sambil menegaskan keputusan pucuk pimpinan Amanah bergantung kepada pendirian UMNO dan BN, bekas Menteri Wilayah itu menyatakan agihan kerusi berkenaan selaras dengan semangat Kerajaan Perpaduan.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Rauf Yusoh sebelum ini mengesahkan PRN Melaka diadakan pada tahun ini, sementara PRN Johor pula perlu diadakan selewat-lewatnya pertengahan 2027 mengambil tempoh permulaan sidang DUN negeri itu yang bermula pada April 2022.

Kedudukan semasa kerusi DUN di Melaka menyaksikan 21 DUN dimiliki BN, sementara selebihnya PH dan Perikatan Nasional (PN).

Bagi DUN Johor pula, BN menguasainya di 40 kerusi daripada 56 DUN yang ada pada PRN 2022 lalu.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast