Hakisan di pesisiran pantai Batu Ferringhi, Pulau Pinang teruk bagi Monsun Timur Laut kali ini berbanding tahun-tahun sebelumnya.

GEORGE TOWNPantai Batu Ferringhi yang setiap tahun berdepan hakisan akibat Monsun Timur Laut, kini menyaksikan kerosakan lebih teruk.

Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Pulau Pinang, Zairil Khir Johari berkata, keadaan itu sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap keselamatan pengunjung serta kelangsungan aktiviti pelancongan di kawasan berkenaan.

Katanya, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) kini sedang mengambil tindakan bagi mengenal pasti faktor sebenar yang menyebabkan hakisan pantai semakin memburuk di kawasan terlibat.

“Sebagai langkah mitigasi di Tanjong Bungah, JPS telah menyiapkan laporan teknikal berkaitan hakisan yang melibatkan kawasan pantai Hotel Mercure, Skyhome Apartment dan Chinese Swimming Club.

“Pihak JPS juga dalam usaha untuk memohon peruntukan bagi melaksanakan tindakan mitigasi segera.

Sementara itu, bagi kawasan pesisir pantai Batu Ferringhi yang melibatkan Hotel Bayview, Lone Pine, Golden Sands dan Shangri-La, beliau berkata, tindakan mitigasi jangka pendek akan dilaksanakan melalui penambahan beg pasir,” katanya kepada pemberita hari ini.

Tambah beliau, JPS turut memohon peruntukan bagi tahun ini melalui Kerajaan Persekutuan sebagai usaha mengurangkan kesan hakisan di beberapa kawasan terjejas, selain pelaksanaan langkah jangka panjang yang telah diluluskan.

Katanya, bagi cadangan mitigasi jangka masa panjang pula, kerajaan Persekutuan telah meluluskan Projek Pembinaan Outfall dan Struktur Mencegah Hakisan Pantai dengan peruntukan sebanyak RM61 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), Rolling Plan 5 (RP5).

“Projek berkenaan bertujuan mengurangkan kadar hakisan di sepanjang pesisir pantai serta memastikan kawasan pantai kekal selamat, stabil dan berdaya tarikan sebagai destinasi utama pelancongan.

“Kerja-kerja ukur hidrografi di tapak telah siap dilaksanakan pada Disember 2025, manakala proses lantikan perunding kini sedang dijalankan oleh JPS dan dijangka dimuktamadkan pada hujung Februari ini.

“Pelaksanaan kerja-kerja fizikal akan dimulakan setelah pelan reka bentuk terperinci disiapkan sepenuhnya,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Zairil memaklumkan JPS juga sedang melaksanakan Kajian Semula Pelan Pengurusan Pantai Bersepadu Negeri Pulau Pinang (ISMP) yang dijangka siap pada suku ketiga 2027.

“Kajian ini bertujuan menjadi panduan kepada kerajaan negeri dalam mengenal pasti pantai-pantai yang berisiko mengalami hakisan supaya perancangan dan pelaksanaan kerja-kerja pencegahan dapat dibuat secara berperingkat, lebih sistematik dan menyeluruh,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast