Seramai 14 Ketua Bahagian Bersatu Johor mengadakan sidang akhbar mendesak Sahruddin Jamal meletak jawatan sebagai Pengerusi Bersatu negeri, dalam sidang akhbar di Kempas, Johor Bahru, semalam

JOHOR BAHRU – Seramai 14 daripada 26 Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor mendesak Datuk Dr Sahruddin Jamal supaya meletak jawatan sebagai Pengerusi Bersatu negeri.

Jurucakap bahagian terlibat, Datuk Isa Ab Hamid mendakwa, Sahruddin sudah tiada sokongan lagi dan mereka juga hilang kepercayaan terhadap Dr Sahruddin.

Ketua Bahagian Bersatu Pontian itu berkata, langkah tersebut perlu diambil demi kelangsungan dan perjuangan parti.

Jelas Isa, perkara tersebut sudah disuarakan kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini, namun tiada sebarang tindakan diambil sehingga memaksa ketua-ketua bahagian membuat sidang akhbar secara terbuka.

“Sidang akhbar ini bukan untuk mencari salah atau bercerita keburukan mana-mana pihak, cuma ini gesaan daripada kami ketua-ketua bahagian Bersatu Johor agar kepimpinan negeri ditukarkan.

“Kami sekali lagi menggesa Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyemak semula pelantikan Pengerusi Bersatu Johor yang didakwa telah kehilangan sokongan dan kepercayaan ketua-ketua bahagian.

“Selain, gagal menyatupadukan kepimpinan dan menangani isu akar umbi. Kemelut ini telah banyak menjejaskan imej Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) di mata pimpinan bahagian, ahli dan penyokong,” katanya dalam sidang akhbar di Kempas di sini hari ini.

Antara yang hadir Ketua Bahagian Bersatu Johor Bahru; Pontian, Tanjung Piai, Pulai, Pengerang, Parit Sulong, Ledang dan Labis.

Pada 30 Disember lalu, bekas Menteri Besar Johor itu mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi PN Johor.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong itu berkata, tindakan berkenaan menyusul selepas peletakan jawatan Muhyiddin di peringkat Pusat.

Sementara itu, bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat dan juga bekas Ahli Parlimen Batu Pahat, Datuk Mohd Rashid Hasnon mengingatkan kepimpinan tertinggi Bersatu agar tidak mengabaikan suara ketua-ketua bahagian.

“Kepimpinan parti jangan abaikan pandangan dan suara akar umbi, sebaliknya kita perlu berjiwa besar kerana sayangkan parti ini.

“Demi masa depan parti lebih-lebih lagi dalam tempoh kita akan berdepan pilihan raya negeri dan pilihan raya umum,” katanya.

Menurutnya, isu berkenaan perlu diselesaikan segera memandangkan Johor akan berdepan kemungkinan Pilihan Raya Negeri (PRN) dalam masa terdekat.- MalaysiaGazette

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast