KUALA LUMPUR – Isu ketiadaan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang sekali lagi dibangkitkan di Dewan Rakyat hari ini apabila Muhammad Ismi Mat Taib (PN-Parlimen Parit) menyatakan pihaknya tidak lagi akan menuntut peruntukan tersebut daripada kerajaan, sebaliknya akan menuntutnya “di akhirat”.
Beliau berkata demikian ketika mengambil bahagian dalam perbahasan titah Yang di-Pertuan Agong, sambil meluahkan kekecewaan kerana isu peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang yang berlarutan sejak sekian lama masih belum menemui penyelesaian.
“Saya nak sebut tentang satu perkara iaitu peruntukan ahli Parlimen. Dah berbuih mulut saya setiap kali berbahas saya sebut tentang peruntukan ahli Parlimen ini namun masih tak ada lagi juga,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Muhammad Ismi, situasi berkenaan menyebabkan beliau merasakan tiada lagi keperluan untuk terus membangkitkan isu tersebut dalam sidang Parlimen.
“Jadi, saya rasa selepas ini saya tak nak sebut dah. Kami (pembangkang) tuntut di akhirat saja senang, peruntukan yang patut diberikan. Tuntut di akhirat saja senang. Tak payah minta-minta lagi, jenuh dah berbuih mulut saya,” katanya lagi.
Isu peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang terus menjadi perdebatan sejak pembentukan Kerajaan Perpaduan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Sebelum ini, kerajaan menyatakan kesediaan untuk menyalurkan peruntukan kepada pembangkang secara bersyarat, termasuk melalui pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) yang melibatkan sokongan terhadap dasar-dasar kerajaan serta pengisytiharan aset.
Namun, parti-parti pembangkang menegaskan peruntukan kawasan adalah hak rakyat dan tidak seharusnya dijadikan alat politik atau tertakluk kepada sokongan kepada kerajaan semasa.
Sehingga kini, masih belum wujud mekanisme menyeluruh yang dipersetujui kedua-dua pihak, menyebabkan wakil rakyat pembangkang terus tidak menerima peruntukan pembangunan bagi kawasan masing-masing. – MalaysiaGazette
















