JOHOR BAHRU – Dua pengusaha makanan dan katering terpedaya dengan helah satu sindiket yang menggunakan nama Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor bagi menawarkan pembekalan makanan serta cenderamata.

Menurut Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad, sindiket tersebut mengemukakan salinan dokumen pesanan kerajaan lengkap dengan logo Polis Diraja Malaysia (PDRM) kononnya sebagai bukti, bagi mempengaruhi mangsa untuk mempercayai mereka.

Katanya, mangsa yang merupakan seorang lelaki dan wanita berusia 51 dan 35 tahun membuat aduan polis berhubung perkara itu, semalam.

Tambah beliau, kedua-dua mangsa masing-masing mengalami kerugian RM3,800 dan RM5,000 akibat diperdaya sindiket tersebut.

“Dalam kedua-dua kejadian tersebut mangsa mendakwa menerima panggilan telefon melalui aplikasi Whatsapp yang memperkenalkan diri dari IPK Johor dan mahu mendapatkan khidmat mangsa untuk membekalkan makanan bagi majlis yang dianjurkan pada 26 Januari lalu.

“Selain itu mangsa juga diminta untuk membekalkan goodies dan diarahkan untuk berhubung dengan pembekal yang ditentukan suspek,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa yang percaya dengan tawaran tersebut selepas diberikan dokumen berkenaan, segera menyediakan makanan berbungkus dan membuat bayaran cenderamata ke akaun bank yang diarahkan suspek.

Mangsa katanya, menyedari ditipu apabila sampai di IPK Johor dan dimaklumkan tiada sebarang tempahan makanan dibuat dan suspek gagal dihubungi.

Jelas Ab Rahaman, dokumen yang diberikan suspek juga didapati palsu dan tidak dikeluarkan IPK Johor.

Kes disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan tipu yang membawa hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda.

“Polis Johor menafikan ada mengeluarkan pesanan kerajaan sebagaimana diterima oleh kedua-dua mangsa.

“Pihak polis menasihatkan orang ramai agar lebih berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan sebarang tawaran pembekalan makanan dan goodies yang diterima melalui panggilan telefon atau media sosial,” ujarnya.- MalaysiaGazette

 

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast