KUALA LUMPUR – Skop Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) berhubung isu minyak dan gas wajar ditentukan oleh mahkamah, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Menurut beliau, ia memandangkan kes melibatkan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan Petroleum Sarawak Bhd (Petros) sudah pun dibawa ke mahkamah untuk diputuskan.
“Dan kita akan melihat apa keputusannya nanti melalui apa yang telah dibawa di peringkat mahkamah,” katanya dalam sidang akhbar di bangunan Parlimen, di sini hari ini.
Fadillah ditanya berkenaan kenyatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Azalina Othman Said yang mana MA63 merupakan dokumen asas pembentukan Malaysia, namun tidak mengandungi peruntukan berkaitan pemilikan, pengurusan atau kawal selia minyak dan gas.
Dalam jawapan bertulis di Parlimen, Azalina turut menegaskan industri itu ditentukan melalui perundangan Persekutuan khususnya Akta Kemajuan Petroleum 1974 yang meletakhakkan Petronas ke atas petroleum.
Bagaimanapun, kenyataan Azalina itu mengundang rasa kurang senang pelbagai pihak di Sabah dan Sarawak yang mempersoalkannya selain menganggap penjelasan menteri berkenaan adalah tidak lengkap secara strategik.
Terdahulu, Fadillah melancarkan Dashboard Status Pelaksanaan Perkara di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (Dashboard MA63) sebagai platform digital rasmi bagi memaparkan status pelaksanaan, perundingan serta latar belakang perundangan berkaitan hak Sabah dan Sarawak.
Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi Hal Ehwal Sabah dan Sarawak, Datuk Mustapha Sakmud.
Sementara itu, mengulas mengenai Dashboard MA63, Fadillah berkata, inisiatif itu diwujudkan sebagai platform pemantauan bersepadu yang membolehkan maklumat berkenaan perkara dan tuntutan MA63 disampaikan dengan lebih tepat; tersusun dan secara terkini.
Setakat ini, katanya, sebanyak 29 perkara sudah dibincangkan di bawah platform rundingan rasmi MA63 dengan 13 perkara telah dilaksanakan termasuk sembilan perkara yang diselesaikan dibawah pentadbiran Kerajaan Madani.
Sementara itu, jelasnya, baki 16 perkara lagi masih dalam pemantauan dan perbincangan berterusan.
“Disebabkan sejarah lama, ada perkara-perkara yang sepatutnya diberi hak kepada Sabah dan Sarawak masih tidak dilaksanakan.
“Ada juga hak Sabah dan Sarawak tapi diambil alih oleh Persekutuan, dan ini perkara yang telah berlaku dulu.
“Jadi untuk leraikan satu perkara yang sudah disimpulkan dulu bukan sesuatu yang mudah. Ada yang memerlukan perundingan dan yang lebih rumit lagi ada yang terpaksa kita pinda perlembagaan dan sebagainya termasuklah undang-undang yang sedia ada,” katanya. – MalaysiaGazette
















