JOHOR BAHRU – UMNO Johor kesal kerana DAP terus menunggang isu Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) untuk meraih sokongan pengundi Cina dan bukan kerana kepentingan sebenar negara.
Ketua Penerangan UMNO Johor, Md Israk Abdullah berkata, sepatutnya DAP mengutamakan kepentingan nasional dan bukan kepentingan politik sempit mereka.
Menurutnya, kenyataan Naib Pengerusi DAP, Teo Nie Ching yang kononnya kesal kerana gagal mengiktiraf UEC ketika beliau menjadi Timbalan Menteri Pendidikan adalah tidak wajar sama sekali.
“Hakikatnya, isu UEC bukan soal kesal atau tidak tetapi soal keikhlasan, keberanian politik dan keutamaan kepada sistem pendidikan nasional.
“Selama berada dalam kerajaan, DAP diberi ruang, kuasa dan jawatan. Namun gagal menterjemahkan janji sendiri. Kini setelah tidak lagi mengurus pendidikan, barulah nada simpati dan penyesalan dimainkan,” katanya dalam satu kenyataan.
Semalam Nie Ching menyatakan kekesalan kerana gagal mengiktiraf UEC ketika era pentadbiran Pakatan Harapan (PH) dari 2018 hingga 2020 sebagai Timbalan Menteri Pendidikan pada masa itu.
Bagaimanapun, beliau yang kini Timbalan Menteri Komunikasi berkata, terdapat kekangan yang di luar kawalannya dalam isu itu namun tidak pernah mengelak daripada mengakui kelemahan tersebut.
Malah beliau sendiri pernah memohon maaf pada 2020 kepada penyokong beliau berhubung kenyataan `mengiktiraf UEC dalam satu tahun’ tetapi masih gagal dilaksanakan sehingga kini.
Namun pendirian beliau dalam isu itu tidak pernah goyah sebaliknya konsisten sejak awal iaitu mengiktiraf UEC adalah baik untuk Malaysia.
Mengulas lanjut, Md Israk berkata, jika Ahli Parlimen Kulai itu benar-benar ikhlas mahu membina pendidikan Malaysia, mengapa ketika berkuasa dahulu gagal menyelesaikannya?
“Mengapa hanya kuat bercakap selepas kehilangan tanggungjawab? Lebih mendukacitakan, Nie Ching sepatutnya lebih kesal terhadap kegagalan beliau membangunkan kawasan Parlimen Kulai yang beliau wakili sendiri,” dakwanya.
Sehingga hari ini, katanya, Parlimen Kulai masih kekal sebagai daerah yang tiada universiti awam, tiada kolej komuniti, tiada sekolah berasrama penuh dan tiada sekolah teknik atau vokasional khas.
“Soalnya, apakah lebih penting berpolitik soal UEC atau membina peluang pendidikan sebenar untuk anak-anak di Kulai,” katanya.
UMNO Johor melihat pendekatan DAP itu sebagai politik persepsi, kuat retorik dan lemah pelaksanaan.
Isu pendidikan tidak seharusnya dijadikan modal emosi dan perkauman, sebaliknya kata beliau, perlu diselesaikan melalui dasar menyeluruh yang menjaga kepentingan nasional, bahasa kebangsaan, perpaduan dan akses pendidikan rakyat.
“Malaysia tidak memerlukan ahli politik yang pandai menyesal, tetapi pemimpin yang berani bertindak ketika diberi amanah.
“UMNO Johor akan terus mempertahankan pendidikan sebagai alat penyatuan, bukan alat politik,” ujarnya.- MalaysiaGazette
















