BANGKOK – Sebuah pesawat tentera terhempas di kawasan hutan di utara Thailand semasa penerbangan latihan pada Khamis, mengorbankan dua juruterbang di dalamnya, menurut tentera udara.

“Dua juruterbang maut dalam kemalangan pesawat melibatkan sebuah pesawat serangan ringan AT-6TH pagi ini semasa latihan,” kata jurucakap tentera udara, Jackkrit Thammanvichai.

Pesawat dua tempat duduk itu terhempas di wilayah Chiang Mai kira-kira jam 10.20 pagi (0320 GMT) ketika menjalankan misi latihan mencari dan menyelamat tempur, menurut kenyataan tentera udara.

Kenyataan itu turut memaklumkan kemalangan tersebut “tidak menjejaskan penduduk tempatan atau menyebabkan kerosakan kepada harta awam”.

Pihak berkuasa sedang menyiasat punca kejadian dan telah dikerahkan ke lokasi nahas.

Pada April tahun lalu, enam anggota polis Thailand terkorban apabila sebuah pesawat kecil terhempas ke laut semasa latihan payung terjun berhampiran sebuah bandar peranginan di selatan ibu negara, Bangkok. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast