KUALA LUMPUR – Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) iaitu inisiatif di bawah Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) terus mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai.
Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, sehingga 31 Disember tahun lalu, deposit Simpan SSPN yang diterima berjumlah RM23.88 bilion dengan bilangan akaun sebanyak 7.31 juta telah direkodkan.
Sepanjang tahun lalu sahaja, deposit Simpan SSPN yang diterima berjumlah RM3.33 bilion dengan bilangan akaun baharu lebih 540,000.
“Sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi, PTPTN memainkan peranan strategik dalam memperkasa modal insan selaras hala tuju Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTN) 2026–2035 yang menekankan pembangunan bakat sebagai pembina negara.
“Oleh itu, PTPTN komited dalam usaha memartabatkan pendidikan tinggi melalui agenda membudayakan amalan penabungan dari awal usia bagi mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman sekali gus memastikan akses pendidikan tinggi yang lebih inklusif dan mampan,” katanya.

Beliau berucap pada majlis Pelancaran Cabutan Simpan SSPN 2026 dan penyampaian hadiah pemenang cabutan Wow! Simpan SSPN 2025 di sini hari ini.
Sementara itu, Norliza berkata, PTPTN meneruskan tradisi menghargai pendeposit menerusi cabutan bertuah Simpan SSPN yang telah dimulakan sejak 2015 yang juga merupakan salah satu pendekatan menggalakkan budaya menabung dalam kalangan masyarakat.
Pada tahun ini, ujarnya, PTPTN melancarkan tiga cabutan istimewa iaitu Cabutan WOW! Plus Loyalty 2026 (kategori tahunan); Cabutan WOW! Plus Siri dan Cabutan Simpan SSPN Baru Slay yang telah bermula pada 1 Januari lalu.
Menurutnya, ketiga-tiga cabutan itu menawarkan hadiah lumayan berjumlah hampir RM1.4 juta untuk dimenangi oleh 954 orang pendeposit.
“Besar harapan saya, kempen ini akan mendapat sambutan yang menggalakkan.
“Dengan sokongan bersama, bukan sahaja dapat memperkukuh Simpan SSPN sebagai instrumen simpanan pendidikan utama negara, malah dapat membentuk generasi yang lebih bersedia, berdaya tahan dan berilmu selari aspirasi Malaysia Madani,” katanya.
Dalam pada itu, Norliza turut menyeru penglibatan pihak sekolah serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) agar bersama-sama dengan PTPTN dalam memupuk dan menggalakkan budaya menabung sebagai perancangan kewangan untuk pendidikan tinggi anak-anak.
Menurutnya, pengurusan kewangan yang berhemah ialah satu keputusan moral yang mencerminkan tanggungjawab ibu bapa terhadap kesejahteraan keluarga dan masa depan anak-anak.
“Menabung bukan sekadar aktiviti bermusim atau bergantung kepada lebihan pendapatan, malah menuntut disiplin, konsistensi dan komitmen jangka panjang.
“Justeru, kita perlu mengubah cara berfikir, simpanan bukan lebihan perbelanjaan, tetapi keutamaan dalam kehidupan,” katanya. – MalaysiaGazette
















