Ramkarpal Singh

KUALA LUMPUR – Tuntutan Kerajaan Negeri Kedah terhadap Pulau Pinang disifatkan sebagai tidak serius, remeh dan berkemungkinan dibatalkan sekiranya difailkan di mahkamah, kata Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh.

Menurut beliau, walaupun Menteri Besar Kedah mendakwa tuntutan itu dibuat mengikut lunas perundangan dan Perlembagaan Persekutuan namun hakikatnya dakwaan berkenaan tidak mempunyai asas kukuh dari sudut undang-undang.

“Ini bukannya satu tuntutan serius, ini tuntutan yang remeh dan beberapa ahli Parlimen sebelah sana (pembangkang) kata, mari ke mahkamah.

“Ya, memang kita boleh pergi ke mahkamah tapi dalam kes di mana tindakan yang remeh dan tidak berasas difailkan, sudah tentunya ia akan dibatalkan,” katanya ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang sebelum ini menegaskan, tuntutan Kedah ke atas Pulau Pinang adalah berbeza dengan tuntutan waris Sulu terhadap Sabah khususnya dari sudut kedaulatan.

Muhammad Sanusi turut mendakwa tuntutan itu dilaksanakan mengikut saluran perundangan serta berlandaskan Perlembagaan Persekutuan, tidak seperti tuntutan ke atas Sabah.

Bagaimanapun, Ramkarpal menyifatkan tindakan membawa isu tersebut ke ruang awam sebagai tidak berasas dan menimbulkan persoalan dari sudut tadbir urus.

“Apakah tujuan kerajaan Kedah dan Menteri Besar Kedah membawa isu ini kepada umum? Adakah Penasihat Undang-Undang Kedah merestui atau bersetuju dengan cadangan membawa tindakan ini ke mahkamah kerana sudah tentunya ia amat remeh,” katanya.

Dalam pada itu, Ramkarpal menyatakan sokongan penuh terhadap pendirian Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow yang menggariskan beberapa peruntukan Perlembagaan Persekutuan bagi membuktikan Pulau Pinang adalah sebuah negeri berdaulat.

“Ini adalah satu hakikat yang perlu diterima oleh pihak di sana. Saya sebagai anak Pulau Pinang akan mempertahan Pulau Pinang hingga ke akhirnya,” katanya.

Kon Yeow yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan sebelum ini menyifatkan tuntutan Kedah terhadap Pulau Pinang sebagai tidak berperlembagaan dan menyamakan dakwaan tersebut dengan tuntutan waris Sulu ke atas Sabah.

Menurutnya, Pulau Pinang merupakan negeri berdaulat dalam Persekutuan Malaysia sejak kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 1957 dan kedudukannya diperkukuhkan lagi menerusi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), yang meletakkan negeri itu tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan bukan tuntutan sejarah sebelum merdeka.

Pada 7 Januari lalu, Muhammad Sanusi dilaporkan berkata, proses perundangan berkaitan tuntutan Kedah ke atas Pulau Pinang dijangka dimulakan tahun ini selepas kerja analisis dokumen berkaitan selesai. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast