Mohd Syes Mohamed

JOHOR BAHRU – Pemuda UMNO Johor menyifatkan cabaran Parti Amanah Negara (Amanah) Johor supaya UMNO negeri meletak Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Salleh sebagai poster boy Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya negeri (PRN) sebagai gimik politik.

Ketua Penerangan Pemuda UMNO Johor, Ts Mohd Syes Mohamed mendakwa, cabaran Amanah Johor itu hanya mahu menutup ketiadaan rekod kerja mereka untuk rakyat di negeri ini.

“Soalnya mudah, apa sebenarnya yang Amanah telah buat untuk rakyat Johor? Ketika rakyat berdepan kos sara hidup, peluang pekerjaan dan keperluan pembangunan setempat, Amanah memilih bermain persepsi, mencipta sensasi dan mengemis kuasa melalui cabaran murahan.

“Di Johor, politik bukan pertandingan kuasa atau medan bermain sentimen tetapi soal keupayaan mentadbir, keberanian membuat keputusan dan keikhlasan berkhidmat.

“Menteri Besar Johor hari ini bukanlah pemimpin yang bermain politik seperti Amanah, tetapi pemimpin yang sentiasa turun lapangan menyusun ekonomi Johor, menarik pelaburan, membuka peluang pekerjaan dan membina kestabilan negeri,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata, Amanah Johor dilihat hanya lebih berpolitik, tetapi lemah soal bekerja untuk rakyat Johor.

Jelasnya, mereka bercakap soal keberanian, tetapi keliru dengan hala tuju, bergantung kepada parti lain dan gagal menampilkan kepimpinan yang benar-benar diyakini rakyat Johor.

“Pemuda UMNO Johor mahu tanya, siapa pemimpin Amanah di Johor yang boleh ditonjolkan untuk mengemudi Johor?

“Pemuda UMNO Johor lebih suka jika Amanah jujur mengakui mereka tiada tawaran sebenar kepada rakyat, lalu cuba mengalih perhatian dengan isu poster boy dan drama politik,” katanya.

Pemuda UMNO Johor ingin menegaskan bahawa UMNO tidak mengemis kuasa, membina kepercayaan melalui kerja dan menawarkan hasil, bukan lakonan politik.

“Rakyat Johor hari ini menilai fungsi, bukan bunyi. Jika Amanah mahu bertanding secara bermaruah, jawab dahulu satu soalan, apa sumbangan nyata Amanah kepada Johor, selain kenyataan media?

“UMNO Johor akan terus fokus membina negeri dan membela rakyat, bukan terperangkap dalam politik gimik yang kosong,” ujarnya.

Hari ini, Ahli Jawatankuasa Pimpinan Amanah Johor, Fadhli Umar Aminolhuda melontarkan cabaran itu dan poster boy BN itu boleh diletakkan khususnya di kerusi-kerusi campuran dan majoriti bukan Melayu seperti kawasan Yong Peng, Batu Pahat dan Pekan Nanas, Pontian.

Exco Pemuda Amanah Pusat itu berkata, cabaran tersebut dibuat selepas kenyataan Ketua Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros berhubung isu poster boy atau calon Menteri Besar Johor daripada Pakatan Harapan (PH) pada PRN nanti.

Terdahulu Noor Azleen mencabar PH menamakan calon Menteri Besar Johor, susulan kesediaan parti itu bertanding semua kerusi mengikut konsep free for all pada PRN akan datang.

Noor Azleen dilaporkan berkata, rakyat negeri itu pastinya berminat untuk mengetahui poster boy atau calon menteri datang dari gabungan itu.

Cabaran Noor Azleen itu selepas Ketua PH Johor, Aminolhuda Hassan yang berpendapat konsep free for all mungkin pilihan terbaik bagi menyelesaikan kebuntuan mewujudkan kerjasama BN di negeri itu.

Aminolhuda berkata, menerusi pendekatan itu semua parti boleh bertanding di kerusi yang dituntut sekali gus mengelakkan polemik ‘kerjasama perpaduan’ seperti di peringkat persekutuan.

Menurut Ahli Parlimen Sri Gading itu, cadangan tersebut juga dibuat memandangkan tiada kerjasama BN-PH dalam pentadbiran Johor.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast