KUALA LUMPUR – Pemuda MCA membantah cadangan Universiti Malaya (UM) untuk melaksanakan dasar hukuman tatatertib secara terus yang mencetus ketidakpuasan hati dalam kalangan pelajar.
Setiausaha Agung Pemuda MCA, Saw Yee Fung berkata, dasar tersebut tidak munasabah kerana ia bukanlah bentuk pengurusan disiplin wajar bagi sebuah universiti, sebaliknya hanya menambahkan beban kewangan kepada para pelajar.
“Sebagai alumni UM, saya menyokong mana-mana usaha membantah dasar ini dan dengan tegas membantah pelaksanaan dasar ‘hukuman tatatertib secara terus’.
“Saya mendesak pihak universiti agar segera membatalkan langkah yang amat tidak munasabah ini demi mempertahankan autonomi kampus serta kebebasan pelajar,” katanya menerusi kenyataan.
Katanya, antara cadangan peraturan baharu tersebut adalah denda RM100 jika didapati membuat bising atau gagal kembali ke asrama selepas jam 12 tengah malam.
Selain itu, pelajar juga diwajibkan membawa kad pelajar pada setiap masa, mematuhi garis panduan pemakaian, serta memakai seluar panjang ketika bersukan.
“Lebih membimbangkan, pelajar yang mengulangi kesalahan akan dikenakan denda berganda,” katanya lagi.
Sehubungan itu, beliau menggesa Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abdul Kadir menjelaskan sama ada cadangan dasar itu merupakan garis panduan seragam yang ditetapkan oleh kementerian atau digubal secara sendiri oleh pihak universiti.
Tegasnya, universiti awam bukan tempat untuk ‘membuat duit’ melalui denda semata-mata kerana ia jelas menyimpang daripada matlamat asal pendidikan tinggi awam.
“Kini, dengan mengenakan hukuman kewangan ke atas pelajar, ia seakan menjadikan kampus sebagai ‘sistem caj sehenti’ masuk bayar yuran tinggi, berdepan denda yang perlu dibayar, dan tidak mustahil selepas tamat pengajian akan muncul pula caj-caj baharu.
“Kampus sepatutnya menjadi tempat pelajar menuntut ilmu dengan tenang, bukannya hidup dalam kebimbangan dikenakan denda.
“Lebih-lebih lagi UM sebagai universiti awam terkemuka negara mempunyai ramai pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah, dan dasar ini hanya akan memburukkan lagi tekanan kewangan mereka,” jelasnya.- MalaysiaGazette
















