Datuk Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR – Penguatkuasaan terhadap penyalahgunaan pas sosial oleh pelawat asing yang bekerja secara tidak sah di negara ini akan terus diperketat bagi membendung pelanggaran syarat kemasukan.

Jurucakap kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, tindakan tegas itu selaras dengan arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu operasi penguatkuasaan dilaksanakan secara berterusan terhadap warga asing.

Ia termasuk pelawat yang melanggar syarat pas sosial atau kelonggaran pemberian visa.

“Perdana Menteri telah meminta supaya tindakan penguatkuasaan terhadap warga asing, khususnya pelawat yang menyalahgunakan pas sosial atau kelonggaran pemberian visa untuk tujuan bekerja, diambil tindakan tegas,” katanya yang juga Menteri Komunikasi.

Beliau berkata demikian kepada media ketika sidang media mingguan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, Kementerian Dalam Negeri, (KDN) memaklumkan puluhan ribu individu telah diperiksa dan diambil tindakan sejak tahun lalu menerusi operasi penguatkuasaan berkenaan.

“Dari tahun 2025 sehingga setakat pertengahan Januari 2026, seramai 54,791 orang telah diperiksa dan diambil tindakan. Pada tahun 2025 sahaja, jumlahnya ialah 51,100 orang manakala bagi Januari 2026 melibatkan 3,691 orang,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan terdapat pecahan lebih terperinci melibatkan warga asing mengikut negara asal namun maklumat lanjut boleh dirujuk terus kepada KDN. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast