Saifuddin Nasution Ismail berbual sesuatu kepada penerima bantuan pada Majlis Serahan Bantuan Wang Ihsan di Kulim, Kedah, hari ini.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyerahkan kepada professional pasukan polis untuk menjalankan siasatan berhubung kes serangan ke atas anak Datuk Seri Rafizi Ramli.

Menteri Dalam Negeri itu berkata, apabila berlaku sesuatu insiden dan laporan polis dibuat, menjadi tugas hakiki polis menjalankan penyiasatan.

Menurutnya, siasatan ini akan dijalankan sepanjang masa dan progresnya bergantung kepada petunjuk-petunjuk baharu yang ditemui.

“Sama ada kes ini akan dikategorikan “no further action” (tiada tindakan lanjut, NFA) atau tidak bergantung kepada progres dan petunjuk baharu. Kita biarkan dahulu,” katanya pada siding media selepas Majlis Serahan Bantuan Wang Ihsan di Kulim, Kedah

Malah, Saifuddin berkata, beliau tidak bercadang untuk memberikan apa-apa arahan yang bersifat konklusif terhadap status sesuatu siasatan kerana ia boleh dianggap mengganggu sekiranya pihak polis menemui punca atau petunjuk baharu.

“Sama ada pengkelasannya dimasukkan sebagai “no further action” atau sebaliknya, saya serahkan kepada profesionalisme pasukan polis,” tambahnya lagi.

Saifuddin yang melahirkan rasa simpati terhadap insiden yang membabitkan anak Rafizi tempoh hari mengakui beliau telah menghubungi bekas Menteri Ekonomi itu untuk bertanya khabar, bukan sahaja ketika insiden itu berlaku, malah selepas itu juga.

Semalam, Rafizi berkata, beliau akan menulis surat kepada Perdana Menteri; Menteri Dalam Negeri dan polis bagi mengusulkan supaya siasatan melibatkan serangan ke atas anaknya diklasifikasikan sebagai NFA.

Katanya, perkara itu akan diusulkan sekiranya beliau berasakan siasatan kes serangan itu tidak akan ke mana-mana selepas menunggu untuk tempoh tertentu.

Ujarnya, usul supaya kes serangan itu diklasifikasikan sebagai NFA bagi mengelak anggota polis yang hanya menurut perintah membuang masa menjalankan siasatan kes tersebut.

“Lagi pun, perdana menteri juga yang beriya-iya keluar kenyataan cepat-cepat suruh siasatan dibuat secara telus.

“Kalau dah lebih 6 bulan tapi tak ke mana, malu lah PMX. Baik saya yang volunteer suruh tutup saja siasatan untuk jaga air muka PMX,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau. – MalaysiaGazette

Kalau lebih 6 bulan tapi siasatan tak ke mana, saya akan usul kes serangan anak jadi NFA – Rafizi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast