KUALA LUMPUR – Armada Bersatu Melaka mempersoalkan kewajaran Angkatan Muda Keadilan (AMK) negeri ini dan Menteri Belia & Sukan, Dr. Taufiq Johari yang didakwa mengadakan pertemuan di fasiliti kementerian tersebut.
Ketuanya, Muhammad Jefri Safry berkata, pertemuan tersebut dimuatnaik menerusi laman media sosial AMK Melaka, yang mana menyatakan antara intipati pertemuan tersebut “menyusun hala tuju dan gerak kerja anak muda menuju PRN Melaka”.
Dakwa beliau, hantaran tersebut secara jelas memberi gambaran antara perkara yang mereka bincangkan berhubung penyusunan hala tuju dan gerak kerja mereka bagi menghadapi Pilihanraya Negeri Melaka.
“Maka jelas ia merupakan sebuah perbincangan berhubung hal ehwal parti politik mereka.
“Adakah di “zaman reformasi” dan “Malaysia Madani”, parti politik boleh terang-terangan menggunakan fasiliti kementerian untuk tujuan perbincangan parti politik,” tanya beliau lagi dalam kenyataan hari ini.
Dakwanya, AMK Melaka masih tidak serik menggunakan aset dan fasiliti kerajaan untuk tujuan politik walaupun tindak-tanduk mereka pernah ditegur apabila kotak sumbangan yang diedarkan oleh sayap pemuda AMK Tangga Batu sebelum ini bertampal logo Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) serta Jata Negara.
“Sekali lagi kami tanya, adakah ini “reformasi” yang sering dicanang oleh Parti Keadilan Rakyat sejak penubuhannya?
“Armada Bersatu Negeri Melaka ingin menegaskan bahawa aset/fasiliti kerajaan tidak sewajarnya digunakan untuk sebarang tujuan politik, apatah lagi oleh ‘parti reformasi’,” ujar Muhammad Jefri. – MalaysiaGazette
















