KOTA TINGGI – Proses naik taraf Lebuh Raya Senai Desaru (SDE) di sini yang menelan kos RM117 juta kini sudah mencapai kemajuan sebanyak 55 peratus.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata, kerja-kerja menjadikan laluan berkenaan daripada dua menjadi empat lorong dilakukan dari Jambatan Sungai Johor hingga ke Sungai Semenchu melibatkan 9.34 kilometer.
Katanya, proses itu yang bermula pada 14 November 2024 melibatkan jarak 9.34 kilometer akan mengambil masa 30 bulan dan dijadualkan siap pada 28 April 2027.
Beliau berharap, kerja-kerja pelebaran jalan tersebut akan terus diteruskan dari Sungai Semenchu ke hujung laluan lebuh raya itu.
“Kita berharap agar ada sambungan sekarang ini (naik taraf) dari Sungai Johor ke betul-betul sebelum jambatan Sungai Semencu dan mungkin ada berita baik kemudian biarlah menteri mengumumkan.
“Saya harap dan kita rakyat Johor sangat berharap agar lebuh raya ini betul-betul sampai ke penghujungnya memiliki jalan empat lorong,” katanya selepas melakukan lawatan kerja di tapak projek menaik taraf lebuhraya SDE hari ini.
Ahmad berkata, usaha itu sudah pasti memberikan kesan yang positif terhadap SDE dan juga kawasan Desaru sebagai sebuah pusat pelancongan terlenal Johor.
Menurutnya, projek itu juga memang menjadi keutamaan kerajaan selain projek pembesaran empat lorong kepada enam lorong dari Senai Utara sekali gus menyelesaikan segala permasalahan dalam bandar raya Johor Bahru.
“Pada masa ini sebanyak 15,000 kenderaan melalui lebuhraya SDE dalam sehari dan kita harap bila semuanya jadi empat lorong, kenderaan akan bertambah lagi,” katanya.- MalaysiaGazette
















