MELAKA – Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun meninggal dunia selepas dipercayai lemas ketika mandi di kolam dewasa kolam air panas di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira 7.40 malam itu, mangsa yang datang bercuti ke Melaka dari Pahang bersama keluarganya ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh orang awam.
Menurut sumber, kejadian kemudian dilaporkan kepada Pasukan Pasukan Rakan Komuniti (Parakom) memaklumkan mangsa dalam keadaan terapung dalam kolam dewasa.
“Setibanya pasukan tiba di lokasi kejadian, mereka segera memindahkan mangsa ke tempat yang selamat sebelum melakukan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) dan membuat panggilan kecemasan ke talian MERS999.
“Ambulans Hospital Alor Gajah yang tiba bersama bersama pasukan perubatan kemudian membawanya ke hospital untuk rawatan lanjut sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 8.24 malam,” katanya.
Sumber berkata, semasa kejadian, mangsa dikatakan berada di bawah pengawasan ibu saudara dan kakaknya.
“Namun kanak-kanak lelaki itu dipercayai telah pergi ke kolam dewasa tanpa disedari sebelum ditemui lemas oleh orang awam di situ,” katanya.
Mayat mangsa kemudian dipindahkan ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat yang dijadualkan dijalankan pagi ini bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superitenden Ahmad Abu Bakar ketika dihubungi mengesahkan kejadian.
“Betul kejadian berlaku dan kes telah kepada Bahagian D11 (Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka untuk siasatan lanjut, ” katanya ringkas. – MalaysiaGazette
















