HULU SELANGOR – Tempoh reman penganggur yang ditahan selepas disyaki mencabul dan memukul seorang kanak-kanak perempuan di Bukit Sentosa di sini, 29 Januari lalu disambung tiga hari lagi.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ibrahim Husin yang mengesahkan perkara itu berkata, remaja berusia 23 tahun itu akan disambung reman sehingga Khamis ini.
“Mahkamah Majistret membenarkan tempoh reman disambung tiga hari lagi sehingga Khamis ini,” katanya menerusi aplikasi WhatsApp hari ini.
Pada 29 Januari lalu, polis menahan seorang penganggur selepas dipercayai memukul dan mencabul kanak-kanak bawah umur di sebuah rumah di Bukit Sentosa, di sini.
Ketika kejadian, mangsa bersama kakak dan abangnya melalui Jalan Bakawali, Bukit Sentosa ke pasar malam tiba-tiba telah didatangi seorang lelaki tidak dikenali telah menarik mangsa masuk ke dalam rumahnya.
Hasil saringan ujian kencing mendapati suspek didapati positif dadah dan semakan awal mendapati lelaki tersebut tiada rekod lampau.
Susulan kejadian itu, Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu membenarkan suspek ditahan reman selama hari yang berakhir hari ini sebelum disambung lagi hari ini sehingga Khamis ini.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 (A) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Jika sabit kesalahan, suspek boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun atau dengan sebat atau dengan mana-mana dua daripada seksaan itu.
Manakala hukuman bagi kesalahan kedua, jika sabit kesalahan, suspek boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan boleh dihukum dengan sebatan. – MalaysiaGazette
















