KUALA LUMPUR – Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Berhad (SME Bank) digesa tampil memberi penjelasan terbuka bagi memulihkan keyakinan orang ramai susulan pengenaan Penalti Monetari Pentadbiran (AMP) sebanyak RM460,000 oleh Bank Negara Malaysia (BNM) kerana kegagalan mematuhi keperluan pelaporan perbankan.
Ahli Parlimen DAP Bagan, Lim Guan Eng berkata, penalti tersebut menimbulkan persoalan serius mengenai tahap profesionalisme, akauntabiliti dan ketelusan SME Bank, khususnya ketika institusi itu memegang peranan strategik dalam menyokong perusahaan mikro, kecil dan sederhana (MSME).
Menurut bekas Menteri Kewangan itu, BNM dalam satu kenyataan bertarikh 29 Januari 2026 memaklumkan AMP berjumlah RM460,000 telah dikenakan ke atas SME Bank pada 20 November 2025 kerana kegagalan mengemukakan laporan transaksi mencurigakan (Suspicious Transaction Report, STR) secara segera.
“SME Bank memainkan peranan penting dalam membantu MSME bertahan menghadapi cabaran ekonomi yang semakin mencabar, termasuk persaingan tidak adil daripada syarikat asing, tarif Amerika Syarikat, kos eksport yang meningkat akibat pengukuhan ringgit serta kenaikan kos buruh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Guan Eng berkata, peranan SME Bank menjadi lebih signifikan apabila sebelum ini Kerajaan Persekutuan telah mengamanahkan bank berkenaan untuk melaksanakan hampir RM2 bilion inisiatif strategik nasional bagi menyokong penskalaan MSME, penggunaan teknologi dan peningkatan produktiviti dalam sektor keutamaan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan adalah amat membimbangkan apabila BNM mendapati SME Bank gagal mengemukakan STR berkaitan aktiviti mencurigakan oleh beberapa pelanggan dengan pelanggaran itu berpunca daripada tahap kesedaran kakitangan yang tidak mencukupi mengenai keperluan STR.
“Pengemukaan STR secara segera adalah kewajipan penting bagi mengelakkan institusi kewangan daripada disalahgunakan sebagai saluran pengubahan wang haram, pembiayaan keganasan serta aktiviti jenayah serius lain,” katanya.
BNM turut mendedahkan SME Bank telah membayar AMP tersebut pada 3 Disember 2025 dengan nilai penalti itu dianggarkan bersamaan kira-kira lima peratus daripada keuntungan bersih suku tahunan terkini bank berkenaan.
Menurut Guan Eng lagi, kesan kewangan akibat denda tersebut mungkin kecil namun kerosakan terhadap kepercayaan awam adalah jauh lebih besar dan memerlukan tindakan segera daripada pihak pengurusan SME Bank.
“Persoalannya, bolehkah SME Bank dipercayai untuk menjaga kepentingan MSME jika masih berdepan isu pematuhan dan kelemahan kesedaran kakitangan sedangkan MSME menyumbang 38 peratus kepada KDNK negara menyediakan 48 peratus peluang pekerjaan dan merangkumi 13 peratus daripada eksport Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette
















