KUALA LANGAT – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor berjaya memadamkan 37 ekar kawasan kebakaran di Hutan Simpan Kuala Langat Selatan (HSKLS) dekat Sungai Kelambu di sini pada hari kedua operasi pemadaman.
Penolong pengarahnya, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, kerja-kerja pemadaman yang bermula jam 8 pagi itu bagaimanapun dihentikan selepas kebakaran berjaya dihentikan 10 pagi tadi.
“Bagaimanapun 19 dari 56 ekar kawasan HSKLS yang terjejas dalam kebakaran itu masih aktif, namun tidak menjejaskan penempatan berhampiran dan loji rawatan air (LRA) berdekatan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Semalam, MalaysiaGazette melaporkan kira-kira empat hektar kawasan hutan berhampiran Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Kelambu, Banting dekat sini terbakar pada Selasa.
Pegawai Operasi JBPM Selangor, Hamdan Hamzah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 12.43 tengah hari sebelum seorang pegawai dan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Banting dikerah ke lokasi kejadian bersama jentera.

Ahmad Mukhlis berkata, seramai 31 anggota dari lain-lain agensi terlibat dalam kerja-kerja pemadaman pada hari kedua.
“Antaranya PANTAS, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pejabat Tanah dan Daerah (PTD), Jabatan Perhutanan dan Unit Pengurusan Bencana Negeri (UPBN).
“Kerja-kerja pemadaman itu diketuai Komander Operasi, Arul Cshelvan Chalaya dan turut dihadiri Penguasa Kanan Bomba II, Mohamad Issmanto Md Pono dan Penguasa Bomba KB9, Qalam Abdul Halim,” katanya.

Selain itu, kata Ahmad Mukhlis lagi, pasukan bomba dan APM sedang giat melakukan kerja-kerja pemadaman di sekitar jalan utama.
“Manakala Jabatan Perhutanan pula melakukan kerja-kerja pemadaman di bahagian dalam dari tubewell,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















