KUALA LUMPUR – Dua lelaki berusia 33 tahun mengalami kecederaan disyaki dipukul dan diugut akibat gagal membuat bayaran kadar caj di sebuah pusat hiburan di Pudu, di sini, pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata, pihaknya menerima laporan mengenai insiden itu daripada rakan lelaki tersebut pada jam 5.03 pagi.
“Lelaki berumur 53 tahun itu menerima panggilan daripada rakannya kira-kira jam 2.37 pagi.
“Mereka meminta bantuan kerana telah dipukul dan diugut akibat gagal membuat pembayaran kadar caj di sebuah pusat hiburan di Pudu.
“Kedua-dua mangsa mengalami kecederaan lebam di bahagian badan dan muka akibat dipukul oleh suspek,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Mohamad Lazim juga berkata, kedua-dua lelaki terbabit pergi ke pusat hiburan tersebut semata-mata untuk berhibur.
“Kedua-dua mangsa merupakan warga tempatan,” katanya.
Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 384 / 324 Kanun Keseksaan dan pihak polis sedang mengesan suspek.
“Hasil siasatan awal, kami sedang mengenal pasti empat suspek dan kes ini masih dalam siasatan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















