KUALA LUMPUR – Malaysia tidak bergantung sepenuhnya kepada Dana Iklim Hijau (GCF) sebaliknya terus memanfaatkan pelbagai sumber pembiayaan antarabangsa bagi menyokong agenda perubahan iklim negara.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, Malaysia masih mempunyai akses kepada mekanisme seperti Global Environment Facility (GEF) dan Adaptation Fund, selain kekal aktif dalam mendapatkan pembiayaan di bawah GCF.
“Di bawah GEF Kitaran Ke-8, Malaysia menerima peruntukan AS$26.32 juta dan menunjukkan prestasi penggunaan yang sangat baik.
“Ini membuktikan keupayaan negara mengurus dana antarabangsa secara berkesan,” katanya ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.
Arthur berkata, prestasi itu menjadi asas penting bagi mengekalkan keyakinan komuniti antarabangsa terhadap Malaysia menjelang kitaran pembiayaan seterusnya bermula 2026.
Menurutnya, Malaysia juga telah menggunakan AS$10 juta bagi projek adaptasi berasaskan alam semula jadi di Pulau Pinang dan masih berpeluang mengakses pembiayaan tambahan sehingga AS$40 juta di bawah Adaptation Fund.
“Walaupun berdepan ketidaktentuan geopolitik global, sokongan pembiayaan iklim kepada negara membangun masih berfungsi dan boleh diperkukuh melalui kepelbagaian sumber,” ujarnya.
Dalam aspek adaptasi perubahan iklim, Arthur berkata kerajaan sedang membangunkan Pelan Adaptasi Kebangsaan (MyNAP) bagi menangani risiko banjir, kenaikan paras laut, hakisan pantai dan kemarau.
Katanya, pendekatan menyeluruh melibatkan kerajaan, agensi teknikal dan komuniti akan memastikan negara lebih bersedia menghadapi cuaca ekstrem.
“Strategi ini bukan hanya tertumpu kepada infrastruktur, tetapi juga aspek keselamatan awam dan perlindungan komuniti terdedah,” katanya lagi.
Menyentuh isu pencemaran Sungai Perak di Gerik, beliau berkata kementerian mengambil tindakan tegas terhadap aktiviti perlombongan yang melanggar peraturan.
Menurutnya, tiga tapak lombong di Hulu Perak digantung operasi sementara pada Oktober 2025 sebelum siasatan menyeluruh dijalankan melibatkan pelbagai agensi.
“Hasil siasatan membawa kepada pengeluaran Perintah Berhenti Kerja terhadap sebuah syarikat lombong sehingga syarat pematuhan dipenuhi,” katanya.
Arthur menegaskan penguatkuasaan terhadap aktiviti perlombongan akan terus diperketat melalui pematuhan ketat laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) dan prosedur operasi standard.
Dalam sektor biodiversiti pula, beliau berkata, kerajaan komited mengangkat Malaysia sebagai peneraju pengurusan biodiversiti menerusi Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan 2022–2030.
Katanya, inisiatif termasuk rondaan biodiversiti, insentif fiskal ekologi dan penubuhan Pusat Biodiversiti Malaysia akan diperkukuh.
Mengenai pengurusan hutan, Arthur berkata pendekatan Pengurusan Hutan Secara Berkekalan terus dilaksanakan melalui kawalan tebangan, pembalakan kurang impak dan program pemulihan kawasan terosot.
“Semua langkah ini penting bagi memastikan sumber alam negara terus terpelihara untuk generasi akan datang,” ujarnya. -MalaysiaGazette
















