KUALA LUMPUR – Seramai 61 calon peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) Tahun 2025 telah memperoleh pangkat mumtaz (cemerlang) dalam semua 10 mata pelajaran, termasuk 30 calon daripada sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
KPM berkata, pencapaian peperiksaan STAM Tahun 2025 adalah signifikan kerana melibatkan kohort pertama yang mengikuti Kurikulum Bersepadu Dini (KBD) Menengah Atas dan Kurikulum Tingkatan Enam Dini melalui tempoh pengajian selama tiga tahun.
Pengukuhan kurikulum hasil kerjasama dengan al-Azhar al-Sharif telah menunjukkan hasil apabila Gred Purata Kebangsaan (GPK) merekodkan pencapaian sebanyak 2.81 mata.
Gred Purata bagi Calon Sekolah KPM turut mencatatkan pencapaian yang baik iaitu 2.63 mata.
Menurutnya, secara keseluruhan, seramai 2,816 calon telah berjaya melepasi syarat kelayakan untuk dianugerahkan STAM.
“Calon telah menunjukkan keupayaan untuk menguasai format baharu bagi empat mata pelajaran utama, iaitu Hifz al-Quran dan Tajwid, Tauhid dan Mantiq, Hadith dan Mustolah serta Insya’ dan Mutalaah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Seramai 4,382 calon telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan STAM tahun lalu di 135 pusat peperiksaan seluruh negara.
Peratus kehadiran calon secara keseluruhan adalah sebanyak 98.7 peratus, dengan calon di bawah KPM merekodkan peratus kehadiran yang tinggi sebanyak 99.1 peratus.
Dalam kenyataan itu, KPM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua guru, ibu bapa, 852 petugas peperiksaan dan 468 pemeriksa yang memastikan kelancaran pengurusan STAM 2025 dan mengucapkan tahniah kepada semua calon. – MalaysiaGazette
















