JOHOR BAHRU – Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Sr Dzulkefly Ahmad digesa menghentikan menyalahguna platform awam, mengelirukan rakyat dan mempolitikkan isu sensitif tanah orang Melayu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin, Mohd Hairi Mad Shah berkata, tindakan bekas Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Pembangunan Luar Bandar Johor itu yang terus memainkan isu status Tanah Rizab Melayu (TRM) Kampung Melayu Majidee amat dikesali.
“Isu Kampung Melayu Majidi bukan isu baharu dan sedang ditangani melalui saluran rasmi Kerajaan Negeri Johor dengan penuh cermat, berfakta dan berpaksikan undang-undang, bukan melalui retorik murahan atau lakonan politik bermusim.
“Perbincangan bersama-sama pihak Persatuan Kebajikan Pemilik-Pemilik Tanah dan Penduduk Kampung Melayu Majidee (Perkam) dan juga kenyataan saya bertarikh 2 Februari 2026 pun sudah menjelaskan secara terperinci.
“Kerajaan Negeri Johor hari ini tidak bermain sandiwara. Kami bekerja dengan dokumen, undang-undang dan tanggungjawab.
“Rakyat Kampung Melayu Majidee bukan alat politik dan Johor tidak perlukan jaguh bermusim,” ujar Hairi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, beliau mempersoalkan apa tujuan Dzulkefly memainkan lagi isu itu secara terbuka dan menggunakan platform media massa.
“Adakah kerana mencari populariti dan mahu ‘mencari’ kerusi untuk bertanding dalam pilihan raya akan datang.
“Spekulasi dan sentimen apa lagi yang hendak dimainkan seolah-olah perkara yang tidak dibolehkan ini menjadi sesuatu yang mudah dilakukan. Janganlah hendak timbulkan perkara retorik dalam pentas perjuangan politik Amanah,” katanya.
Beliau yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO Pusat berkata, persoalan yang rakyat Johor wajar tanya ketika ini ialah di manakah suara Dzulkefly ketika beliau mempunyai kuasa dalam kerajaan negeri ketika itu.
Soalnya, mengapa isu hak milik kekal tidak diperjuangkan oleh Dzulkefly ketika menjadi Exco Kerajaan Negeri Johor suatu ketika dahulu.
“Mengapa ketika itu selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, kampung-kampung Melayu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Iskandar tidak pula ‘dipertahankan’ seperti yang dilaung hari ini?
“Lebih memualkan, menjelang suasana politik dan bayangan pilihan raya, barulah muncul ke Kampung Melayu Majidee kononnya mahu menjadi ‘hero rakyat’. Ini bukan perjuangan, ini eksploitasi isu rakyat untuk modal politik,” dakwanya.
Beliau berkata, realiti sebenar pendirian kerajaan negeri ketika itu dalam isu tersebut semasa Dzulkefly menjadi Exco tidak boleh dipadamkan.
“Fakta tidak boleh dipadam. Dalam laporan Berita Harian bertarikh 23 Disember 2019, Menteri Besar Johor ketika itu yang juga ketika Dzulkefly menjadi Exco, Datuk Dr Sahruddin Jamal secara jelas menyatakan pendirian kerajaan negeri bahawa status TRM di Kampung Melayu Majidi dikekalkan. Kenyataan ini direkodkan secara rasmi dan diketahui umum.
“Maka persoalannya mudah, jika kerajaan negeri ketika itu ‘bertegas’, mengapa tiada hasil konkrit sepanjang tempoh beliau berada dalam kerajaan,” soalnya.
Semalam Dzulkefly dilaporkan berkata, permohonan penduduk tentang status TRM Kampung Melayu Majidee ditukar daripada hak milik pajakan kepada hak milik kekal boleh dilakukan berdasarkan inisiatif dan budi bicara Kerajaan Johor.
Dzulkefly berkata, ini berasaskan kepada naratif atau alasan kukuh terhadap tuntutan yang dibuat berlandaskan syarat serta undang-undang sedia ada.
Kenyataan beliau itu adalah reaksi kepada kenyataan Mohd Hairi sebelum itu yang mendakwa permohonan menukar status TRM berkenaan tidak termasuk dalam Seksyen 76(aa)(iii) Kanun Tanah Negara (KTN) iaitu tidak boleh ditukar statusnya.
Pada 20 April lalu, media melaporkan bahawa lebih 40,000 penduduk kampung itu terus hidup dalam dilema apabila permohonan mereka untuk menukar status tanah kediaman daripada TRM berstatus pajakan 99 tahun kepada hak milik kekal masih belum menerima sebarang maklum balas daripada kerajaan negeri.
Tempoh pajakan TRM kampung berkenaan dijadual berakhir pada 2053, iaitu 28 tahun lagi, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk terhadap masa depan mereka, termasuk kemungkinan kampung tersebut dibangunkan secara komersial.
Kampung Melayu Majidee merupakan penempatan Melayu kedua terbesar selepas Kampung Baru, Kuala Lumpur, dan terletak di lokasi strategik di tengah-tengah bandar raya Johor Bahru dengan keluasan kira-kira 730 hektar.- MalaysiaGazette
















