KUALA LUMPUR – Penang Port Sdn Bhd (PPSB) menerima PM SATU, sebuah bot tunda generasi baharu yang direka untuk memenuhi keperluan industri berprestasi tinggi sambil memelihara kelestarian alam sekitar.
Ia dikendalikan oleh kontraktor yang baharu dilantik, Baiduri Dimensi, PM SATU tiba di perairan Pulau Pinang pada 29 Januari lalu dan telah memulakan operasi sepenuhnya pada awal bulan ini.
Ketibaan PM SATU meningkatkan kapasiti bollard pull bot tunda kepada 50 tan, iaitu peningkatan sebanyak 11% daripada standard terdahulu sebanyak 45 tan.
Peningkatan ini secara langsung memenuhi trend global kapal kargo yang kini semakin besar ukurannya.
“Dngan kapasiti yang dipertingkatkan, kami kini mampu mengendalikan kapal kontena, kapal pukal (bulk carriers), dan kapal tangki yang lebih
besar dengan sokongan navigasi serta keselamatan yang lebih mantap.
“Bagi pelanggan kami, ia membawa kepada masa pusing balik yang lebih singkat, penjimatan ketara bagi caj pelabuhan serta pengurangan masa menunggu yang merugikan.
“Kami kini dilengkapi sepenuhnya untuk membantu pelangganmengoptimumkan masa kapal mereka di laut, memastikan Pelabuhan Pulau Pinang terus menjadi hab yang pantas, cekap dan ekonomik selaras dengan penambahbaikan berterusan dalam perkhidmatan maritim,” katanya.
Selain operasi pelabuhan kami sendiri, PM SATU turut memperluaskan peranannya melalui perkhidmatan Ship-to-Ship (STS) untuk Andaman Port Sdn Bhd.
Kerjasama ini melibatkan sokongan pemindahan minyak dan gas, sekaligus mengukuhkan kedudukan Pelabuhan Pulau Pinang sebagai pintu masuk yang boleh dipercayai bagi wilayah utara.
Melalui kerjasama ini, PPSB menyumbang kepada pertumbuhan serantau dan menggalakkan kelancaran operasi maritim untuk keseluruhan industri.
Di sebalik ketahanan mekanikalnya, PM SATU menekankan fokus strategik PPSB terhadap kelestarian. Bot tunda ini dilengkapi keupayaan kuasa darat,
yang membolehkan ia disambung terus ke bekalan kuasa darat.
Inovasi ini mengurangkan keperluan penggunaan enjin tambahan berkuasa diesel Ketika berlabuh, sekali gus mengurangkan pelepasan karbon dan penggunaan bahan api secara signifikan.
PPSB berkata, ketibaan PM SATU bukan sekadar penambahan bot tunda, tetapi satu pernyataan jelas tentang hala tuju PPSB, membuktikan Pelabuhan Pulau Pinang berjaya menggabungkan kemampuan industri berat dengan teknologi hijau. – MalaysiaGazette















