Tun Faisal Ismail Aziz.

KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz senada dengan saranan supaya Lembaga Rayuan Bersatu tidak meringankan hukuman terhadap Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan.

Dalam masa sama, beliau turut bersetuju dengan saranan agar Wan Saiful yang dipecat keahlian parti itu menjalani sepenuhnya fasa hukuman sebelum sebarang pertimbangan rayuan dibuat.

Menurut beliau, saranan itu disifatkan amat wajar dan munasabah, serta selari dengan roh, tujuan dan kedaulatan perlembagaan Bersatu.

Menjelaskan lebih lanjut, ujarnya, dari sudut perlembagaan parti, gesaan terhadap Wan Saiful itu berasaskan satu prinsip penting iaitu disiplin parti wujud untuk melindungi keputusan perlembagaan, bukan untuk dirunding semula melalui tekanan politik atau rayuan awal.

Selain itu, katanya, dari sudut perlembagaan Bersatu juga, prosiding Lembaga Rayuan tidak wajar, malah tidak sah dari segi prinsip, jika dipanggil tanpa terlebih dahulu menerima Alasan Penghakiman dan Ekshibit Lembaga Disiplin.

Tambah beliau, keperluan itu menjadi lebih kritikal dalam kes Wan Saiful kerana Ahli Parlimen Tasek Gelugor berkenaan tidak mengemukakan sebarang pembelaan semasa prosiding Lembaga Disiplin; tiada isu dinafikan hak didengar serta tiada kegagalan prosedur yang boleh dijadikan asas rayuan.

“Dalam keadaan ini, tiada asas perlembagaan untuk Lembaga Rayuan “membuka dan membicarakan semula” kes, kerana berbuat demikian akan melanggar tatacara rayuan; menjadikan rayuan sebagai perbicaraan semula yang terselindung dan melemahkan autoriti Lembaga Disiplin sebagai badan perlembagaan parti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Ketua Bersatu Bahagian Tasik Gelugor, Azmi Alang menggesa Lembaga Rayuan Bersatu tidak mempertimbangkan pengurangan hukuman terhadap Wan Saiful dan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang didakwa terus mencabar kepimpinan parti walaupun tindakan disiplin telah diambil.

Menurut Azmi, pendirian itu penting bagi memastikan disiplin organisasi terpelihara dan keputusan Lembaga Disiplin tidak dipermainkan melalui proses rayuan.

Sementara itu, Tun Faisal Ismail berpandangan Tatacara Pengurusan Kes Rayuan dalam buku Tatacara Pengurusan Kes Disiplin, seperti tertulis dalam Bab 7.3 Prosedur Pengurusan dan Bab 7.4 Prosiding Tribunal Lembaga Rayuan kelihatan agak ringkas.

“Wajarkah MPT mencadangkan agar suatu Garis Panduan bagi Lembaga Rayuan dibangunkan bagi tujuan membantu Lembaga Rayuan meneliti kes-kes rayuan secara lebih tersusun, objektif, telus dan menepati roh Perlembagaan Bersatu?” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast