Ketua Pengarah IKIM, Prof Madya Datuk Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil.

KUALA LUMPUR – Penggunaan ungkapan seperti “Alhamdulillah” dan “Insya-Allah” oleh bukan Islam adalah dibenarkan selagi ia digunakan dengan niat yang baik, beradab serta menghormati makna asal lafaz tersebut.

Bagaimanapaun, ia tidak dibenarkan sekiranya bertujuan memperolok, menyalahgunakan atau merendahkan kesucian agama Islam, kata Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof Madya Datuk Dr Mohamed Azam Mohamed Adil.

Beliau berkata, pada hakikatnya ungkapan berkenaan merupakan lafaz keimanan yang merujuk kepada pengakuan serta pujian kepada Allah SWT, namun, dari sudut bahasa dan adat, ia tidak semestinya terhad kepada orang Islam sahaja.

“Dalam konteks masyarakat majmuk, hukum penggunaan lafaz tersebut oleh bukan Islam bergantung kepada niat dan situasi, selaras dengan kaedah fiqh yang menetapkan bahawa ukuran sesuatu lafaz adalah berdasarkan niat dan maknanya, bukan semata-mata pada lafaz yang diucapkan.

“Sekiranya ungkapan ini digunakan dengan tujuan baik dan penuh hormat, ia dibenarkan. Namun jika digunakan untuk menghina, mempermainkan atau memesongkan maknanya, perbuatan tersebut boleh menjejaskan kesucian agama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut merujuk pandangan ulama tersohor, Yusuf al-Qardawi dalam karya Fiqh al-Da‘wah, Ghayr al-Muslimin fi al-Mujtama‘ al-Islami yang menyatakan lafaz pujian kepada Allah SWT oleh bukan Islam tidak diharamkan selagi tidak membawa maksud pengakuan akidah Islam atau unsur penghinaan terhadap agama.

Tambahnya, para ulama Islam juga sepakat bahawa penilaian hukum dalam isu ini perlu mengambil kira niat, maksud serta konteks masyarakat setempat.

Sehubungan itu, IKIM menasihatkan umat Islam agar mengamalkan sikap husnuzon (sangka baik) dan kebijaksanaan dalam menangani isu berkenaan, mengambil teladan daripada pendekatan Nabi Muhammad SAW yang memahami serta mendoakan hidayah buat bukan Muslim selagi perbuatan mereka tidak menghina atau menyalahi akidah.

“Masyarakat bukan Islam juga perlu diberi kefahaman tentang makna sebenar lafaz-lafaz ketuhanan ini.

“Pendekatan beradab dan berhikmah bukan sahaja menjaga kesucian lafaz Allah, malah menjadi medium dakwah yang harmoni dalam kehidupan bermasyarakat,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast